Azuyah Hassan
AZUYAH HASSAN

Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Azuyah Hassan berkata, seramai 406 calon memperoleh keputusan cemerlang A bagi semua mata pelajaran dalam peperiksaan itu menyamai rekod SPM 2016.

Katanya, itu termasuk 14 calon yang mendapat A+ bagi semua mata pelajaran yang diambil.

“Jumlah calon yang mencapai keputusan cemerlang itu adalah 1.51 peratus daripada 34,666 calon yang menduduki peperiksaan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar Pengumuman Keputusan SPM 2017 peringkat negeri di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Badlishah, di sini hari ini.

Azuyah berkata, seramai 25,106 calon (84.22 peratus) pula layak mendapat sijil pada tahun ini berbanding 24,161 (82.872 peratus) calon pada 2016.

“Analisis keputusan SPM 2017 berdasarkan GPN menunjukkan pencapaian calon bandar lebih baik iaitu 4.66 berbanding 4.80 pada 2016.

“Manakala pencapaian calon luar bandar juga meningkat dari segi GPN iaitu 5.49 tahun ini berbanding 5.59 pada 2016,” katanya.

Pada majlis pengumuman keputusan SPM itu selain me­nyerahkan keputusan slip peperiksaan kepada 14 calon cemerlang tertinggi, beliau turut menyampaikan surat penghargaan kepada beberapa sekolah cemerlang bagi kategori GPS di bawah daripada 3.0 dan kategori Lonjakan Saujana.

Katanya, 14 calon mendapat A+ cemerlang tertinggi didahului oleh Lau Ting Yi dari SMK Sin Min, Sungai Petani apabila memperoleh 12A+ diikuti tiga calon dari SMK Sultan Badlishah, Chan Khai Xian, Chin Jeong Hin dan T. Premugaura yang memperoleh 11A+.

“Calon cemerlang tertinggi lain ialah Ooi Hui En SMK Jitra,Tan Zhen Yuan dan rakannya Lai Yong Sheng dari SMK Keat Hwa 1, Felicia Ooi Xi dan V.Priyaah dari SMK Ibrahim dan Wiksa Virijo Vicheet dari SMK Khir Johari, Sungai Petani yang turut memperolehi 11A+.

“Manakala Zainab Zuhaira Khair Zakaria dari Maktab Mahmud Sik, Chia Wei dari Jing SMK Keat Hwa 1 dan dua calon dari SMK Sultan Badlishah di sini iaitu J. S. Theevya dan Leong Sheng Rong memperoleh 10A+,” kata­nya.