Salmiah Mahmod, 60, atau lebih dikenali sebagai ‘Mak Lang’ bekerja sebagai guru kelas jahitan sebelum terlibat dengan kemalangan yang mencederakan tulang belakangnya sekali gus mengakibatkan dia terpaksa melupakan kerjayanya.

Tatkala hidup harus diteruskan Salmiah membuat keputusan untuk berniaga nasi lemak secara kecil-kecilan bagi menampung keperluan hidup.

Setelah lebih sedekad berhem­pas pulas mengusahakan perniagaannya itu, kini dia mampu tersenyum apabila nasi lemak daun pisangnya itu kini cukup popular sehingga terjual kira-kira lebih 2,000 bungkus setiap hari.

Menurut Salmiah, setiap hari dia memerlukan sekurang-kurangnya 100 kilogram beras dan 10 kilogram ikan bilis untuk menyediakan nasi lemak jualannya.

“Setiap hari, kami memulakan operasi seawal pukul 4.30 pagi untuk menyiapkan tempahan. Sekurang-kurangnya pada pukul 6.30 pagi sudah 400 hingga 500 bungkus perlu dihantar ke gerai-gerai dan stesen minyak sekitar bandar,” katanya.

Nasi Lemak Mak Lang pasti mudah dikenali dengan cop biru lambang jenamanya dan dengan rasa yang enak serta harga yang murah kerana Salmiah tidak berkompromi dari segi kualiti.

Makanan yang dijadikan juadah sarapan sehinggalah ke minum petang itu cukup popular hinggakan ada peniaga dari luar Alor Setar sanggup datang setiap hari sejak 11 tahun lalu hanya untuk mendapatkan nasi lemak tersebut untuk disajikan kepada pelanggan tetap gerai miliknya yang terletak di Lepai, dekat sini.

Penyediaan nasi lemak tersebut memerlukan tenaga kerja yang ramai dan oleh itu, Salmiah menggaji seramai 10 pekerja yang terdiri daripada rakan-rakan dan jirannya sendiri.

Setiap pekerja mempunyai peranan masing-masing seperti tukang masak, pemotong daun pisang, jurugegas hingga tukang masak.

Menurut Ruslina Abdullah, 45, yang bekerja dengan Salmiah sejak lebih lapan tahun lalu, wanita yang mesra dengan panggilan ‘mama’ dalam kalangan pekerjanya itu menggaji pekerja yang kebanyakan daripada golongan asnaf, ia adalah satu jalan keluar bagi dirinya dan rakan-rakan untuk mendapatkan kehidupan yang lebih senang.

“Mama tidak kisah jika kami ingin mengusahakan perniagaan sendiri apabila sudah cekap. Malah sudah ada beberapa rakan kami berjaya menjual nasi lemak nasi jenama sendiri,” katanya.

Ruslina menambah, Salmiah sangat peka dan prihatin dengan semua pekerjanya dengan memastikan gaji dibayar setiap minggu atau bulan mengikut permintaan pekerja.

“Setiap tahun, mama akan membawa semua pekerjanya untuk bercuti ‘makan angin’ sebagai ganjaran penat lelah sepanjang tahun selain bonus untuk mening­katkan motivasi kami,” katanya.

Selain daripada menyiapkan tempahan, Ruslina juga berperanan sebagai penolong kepada Salmiah dalam menguruskan perbelanjaan barang mentah dan juga menerima tempahan serta mengaturkan jadual pekerja.

Ruslina memberitahu, nasi lemak dimasak dua kali setiap hari iaitu pada awal pagi bagi memenuhi permintaan sebelah pagi manakala pada tengah hari untuk permintaan sebelah petang.

“Selain lauk bilis bersama telur, pilihan lain seperti ikan, ayam dan udang turut disediakan,” katanya.

“Setiap tempahan dalam kawasan Alor Setar akan dihantar oleh jurugegas manakala tempahan luar kawasan akan diambil sendiri oleh peniaga,” katanya.

Dengan menawarkan resipi ringkas namun tetap terpelihara rasanya yang sedap, Nasi Lemak Mak Lang menjadi ‘kegilaan’ apabila ia menjadi tarikan utama di gerai milik Halim Arifin, 53, di Lepai.

Menurut Halim, setiap hari dia akan pergi ke Simpang Kuala untuk mengambil tempahan yang tidak pernah kurang daripada 100 bungkus setiap hari.

“Nasi Lemak Mak Lang mempunyai rasa sedap dan enak yang lain daripada yang lain. Selain itu, nasi lemak tersebut tahan lama berbanding jenama lain.

“Kebiasaannya, Nasi Lemak Mak Lang tahan sehingga lewat malam dan jika tidak diusik, ia masih boleh dimakan keesokan hari,” kata Halim yang berniaga sejak 11 tahun lalu dengan menjual juadah minum petang dan makan malam se­perti nasi lemak, mi goreng dan kuih-muih.