Pengetua sekolah, Ismail Othman berkata, wau bulan setinggi empat meter dan lebar lima meter diperbuat daripada bahan berkualiti mengandungi besi, jala, buluh, benang serta tali.

"Wau gergasi itu dicipta oleh dua guru sekolah iaitu, Rohaizat Ramli dan Ishak Khalid.

"Mereka begitu pakar dalam hal berkaitan reka cipta hingga berjaya menyiapkan wau bulan lebih sebulan lalu dan kini dipamerkan untuk dilihat sendiri oleh lebih 1,000 pelajar sekolah," katanya di sini.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah, Abu Awang melakukan upacara gimik pelancaran wau gergasi itu sempena majlis sambutan Ambang Merdeka peringkat sekolah tersebut baru-baru ini.

Menurut Ismail, wau tersebut adalah lambang budaya tempatan yang halus dan berseni serta bersifat kontemporari.

"Terima kasih kepada semua pihak kerana berjaya melakukan sesuatu sehingga menarik perhatian ramai setelah sekolah ini dibuka sejak tahun 1983 lalu," katanya.

Sementara itu, Rohaizat pula berkata, proses menyiapkan wau ini turut dibantu oleh 10 pelajar sekolah diketuai oleh Zafri Lukman.

"Wau gergasi ini akan dipamer kepada umum dan bilangan pengunjung pasti bertambah menjelang 31 Ogos dan pihak sekolah bersetuju untuk mempelawa orang ramai datang melihat wau gergasi itu hingga Hari Malaysia 16 September nanti," katanya.