Tinjauan Bernama hari ini mendapati tidak kurang daripada 10,000 orang pengunjung terutama golongan wanita memenuhi khemah jualan bagi membeli jubah dan tudung beserta aksesori pakaian wanita yang dijual 20 hingga 50 peratus lebih murah berbanding harga di pasaran.

Sebagai contoh, jubah wanita didapati pada harga RM120 sepasang kebiasaan (hari Jumaat), namun di sini boleh didapati pada harga RM75 sepasang, tudung kepala serta seluar dijual pada harga RM20 hingga RM45 sehelai, pakaian kanak-kanak dijual serendah RM10 manakala kain pelikat dan batik berjenama dijual antara RM18 hingga RM25 sepasang berbanding RM35 di pasaran luar.

Seorang pengunjung Nik Nor Idayu Nik Hasan, 35 dari Kampung Tok Keling di sini berkata pembelian awal membolehkannya membuat pilihan pakaian yang terbaik buat anaknya kerana masih mempunyai pilihan saiz bersesuaian dan warna yang disukai.

"Saya bawa dua anak datang beli awal kerana dapat bandingkan harga dan kualiti, biar murah asalkan elok dan berpatutan dengan poket saya " katanya yang pertama kali berkunjung ke bazar ini , hari ini.

Sementara itu, seorang lagi pengunjung Zamani Mohd Nawi, 37, berkata walaupun pernah bekerja di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang dan telah bertukar ke Jeli ,Kelantan sejak empat tahun lalu, tetapi setiap kali Ramadan beliau akan datang membeli barangan di situ untuk persiapan Hari Raya.

"Saya masih bercuti dan ambil kesempatan ini datang awal membeli-belah di sini kerana kalau ditempat lain perlu banyak tempat dan membuang masa kerana ada yang tidak lengkap dan memenuhi cita rasa saya," katanya.

Sementara itu, Pengurus Bazar Melayu(amp)Kemboja Mohd Ridzuan Aziz berkata bazar yang beroperasi sejak September 2014 lalu itu telah berjaya menarik 20 peniaga beroperasi di situ.

Katanya bagi memberi lebih masa kepada pelanggan untuk membeli kelengkapan raya pihaknya akan beroperasi selama empat hari bermula 23 hingga 26 Jun hingga lewat tengah malam.

"Empat hari sebelum Raya, kita akan beroperasi bermula tujuh pagi hingga lewat malam dan orang ramai tidak perlu bimbang kerana kita sediakan banyak tempat letak kereta untuk kemudahan pengunjung ke sini, saya nasihatkan agar datang awal supaya tidak berlaku kesesakan" katanya. - BERNAMA