Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Norhizan Ismail berkata, ini berikutan keadaan cuaca yang panas di seluruh negeri dengan daerah Langkawi, Sik, Baling dan Kulim telah dikategorikan berada pada Tahap 1 iaitu berjaga-jaga oleh Jabatan Metereologi, dengan suhu antara 35 hingga 37 darjah celcius.

Katanya, daerah Pendang pula pada masa ini dikategorikan berada di Tahap 2 iaitu suhu melebihi 37 hingga 40 darjah celcius.

“Pihak Jabatan Kesihatan negeri dengan kerjasama pihak penganjur LIMA ‘19 akan membuat hebahan tip-tip penjagaan kesihatan kepada pengunjung daripada semasa ke semasa dan akan menyediakan pasukan perubatan di lapangan bagi memberikan bantuan perubatan sepanjang acara tersebut berlangsung.

“Setakat ini, hasil pemantauan di semua klinik kesihatan dan Jabatan Kecemasan di hospital-hospital, walau bagaimanapun tiada kes berkaitan cuaca panas dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambah Norhizan, semua klinik kesihatan dan hospital di negeri ini telah diarahkan untuk meningkatkan persediaan daripada segi perkhidmatan rawatan sekiranya menerima kes-kes penyakit berkaitan cuaca panas.

 

Tips penjagaan kesihatan semasa musim panas:

* Mengurangkan aktiviti fizikal di luar rumah (seperti bersukan, bekerja di tempat terbuka) terutama pada waktu tengahari.

* Melebihkan masa berada di dalam rumah, bangunan dan tempat yang redup.

* Minum air kosong dengan kerap dan jangan tunggu sehingga terasa dahaga atau bibir menjadi kering. Pastikan minum air lebih lapan gelas sehari.

* Minum minuman isotonik kerana ia boleh menggantikan garam dan mineral yang hilang semasa berpeluh.

* Memakai pakaian yang ringan, terang dan longgar.

* Kurangkan minum minuman berkafein, beralkohol dan bergula.

* Menggunakan topi atau payung untuk melindungi daripada pancaran haba terus ke badan.

* Menggunakan kipas atau penghawa dingin untuk menyejukkan badan.

* Tidak duduk di dalam kenderaan yang bertutup tanpa pendingin hawa.

* Mendapatkan rawatan segera di klinik atau hospital berdekatan sekiranya terdapat gejala-gejala cuaca panas seperti sakit kepala, letih, lemah tumpuan, pening, lemah otot-otot/kekejangan, mual atau muntah. - UTUSAN ONLINE