Menurutnya, peluang pekerjaan itu hadir menerusi beberapa projek yang mampu memacu ekonomi Kedah seperti bandar raya getah di Padang Terap, Taman Sains dan Teknologi di Bukit Kayu Hitam serta Bandar Sains dan Perubatan di Bandar Baharu.

Tegasnya, seboleh mungkin, beliau mahu agar jawatan-jawatan kosong itu diisi oleh anak jati Kedah bagi memastikan manfaat kedatangan pelaburan yang berjumlah berbilion ringgit itu dapat dirasai rakyat Kedah secara menyeluruh.

“Sebab itu saya mahu anak-anak muda terutamanya pelajar dan bakal mahasiswa membuat pilihan tepat apabila melanjutkan pelajaran. Jangan hanya memikirkan bidang yang 'senang' tetapi tidak mempunyai pasaran kerja meluas untuk ditawarkan.

“Mungkin bidang kejuruteraan mahupun sains agak susah tetapi ramai orang Melayu yang berjaya di dalam bidang tersebut. Dan sudah tentu, kebanyakan pekerjaan yang ditawarkan dalam projek-projek disebutkan tadi memerlukan ilmu serta kepakaran dalam bidang berkenaan,“katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) di Dewan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) di sini hari ini.

Yang turut hadir Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Datuk Suraya Yaacob; Ketua Sekretariat SL1M, Norashikin Ismail; Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Redza Rafiq serta Pengerusi Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) Kedah dan Perlis, Datuk Dr. Haminnuddin Abd. Hamid.

Melalui program tersebut, sebanyak 52 syarikat yang beroperasi di seluruh negara mengambil bahagian dengan menawarkan lebih 1,000 peluang pekerjaan kepada golongan pencari kerja.

Mengulas keengganan beberapa peniaga di Pekan Rabu berpindah ke Ukir Mall bagi memberi ruang kepada pembinaan semula bangunan ikonik itu, Mukhriz berharap perkara itu tidak akan sampai merugikan semua pihak.

“Usaha untuk berbincang dengan mereka berterusan tetapi kita mesti ada tarikh muktamad kerana peruntukan yang diberikan kerajaan pusat tidak selamanya kekal.

“Jika projek ini tidak berjalan dalam tempoh tertentu, peruntukan itu mungkin ditarik semula dan itu tentunya merugikan semua pihak terutamanya majoriti peniaga yang bersetuju berpindah hanya untuk dua tahun lebih saja sementara menanti bangunan baharu itu siap,” katanya.