Tiga pelajar berkenaan ialah Nu’man Abdul Jamil dari Maktab Mahmud Alor Setar; Ng Woon Yee dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Sin Min, Sungai Petani dan M. S. Arminder Singh Punn dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Badlishah, Kulim yang masing-masing berusia 18 tahun.

Menurut Nu’man, dia memang bercadang untuk membeli sebuah komputer riba sebagai kegunaan ketika menyambung pengajian dalam bidang kejuruteraan di Universiti Tenaga Nasional (Uniten).

“Alhamdulillah dapat menjimatkan kos untuk persiapan pengajian nanti, saya amat menghargai pemberian MIDF ini yang akan memudahkan saya menyiapkan tugasan di universiti nanti,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Penyampaian komputer riba itu dilakukan Ketua Jabatan Pengarah Urusan MIDF, Ahmad Farouk Mohamed sempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2019 di pekarangan Amanjaya Mall.

Tambah Nu’man yang meraih 11A, bidang pengajiannya memerlukan komputer riba yang berkualiti tinggi bagi membolehkannya memasang perisian-perisian dan aplikasi berkaitan kejuruteraan.

“Saya akan mendaftar pada 11 Mei ini dan kini sudah mempunyai komputer riba yang diperlukan kerana spesifikasinya memadai dengan apa yang dicari sebelum ini,” ujarnya.

Sementara itu, Arminder Singh dan Woon Yee yang kedua-duanya akan melanjutkan pelajaran ke Universiti Monash, Subang Jaya turut menghargai usaha murni pihak MIDF.

“Pemberian komputer riba ini telah membantu saya menyelesaikan masalah memilih komputer riba yang bagus kerana saya memang ada menyenaraikan beberapa jenama untuk dibeli,” kata Arminder Singh.

MIDF yang menyampaikan komputer riba pada setiap penganjuran MSAM bukan sahaja memilih pelajar yang cemerlang dalam akademik, malah turut mengutamakan mereka yang terlibat aktif dalam aktiviti ko-kurikulum. - UTUSAN ONLINE