Selain pidato disampaikan pemimpin komuniti tersebut di sini, kesemua mereka yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur turut serta mengikuti majlis tahlil yang dipimpin Imam Masjid Zahir, Mohd. Isa Abd. Rahman.

Pengerusi Persatuan Rohingya Malaysia Cawangan Kedah, Yusof Ali berkata, majlis itu diadakan bagi memperingati tragedi pembunuhan beramai-ramai masyarakat Rohingya pada 9 Oktober 2016.

“Kalau boleh kami mahu adakan majlis ini pada setiap tahun. Selain berdoa untuk kesejahteraan masyarakat Rohingya, kami juga mahu mendesak supaya masyarakat dunia melakukan sesuatu kepada pemerintahan kejam di sana.

“Kami mahu supaya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) bertegas de­ngan pemerintah Myanmar. Begitu juga dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Asean,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Mengulas lanjut, katanya, penderi­taan saudara-mara mereka di bumi Arakan berterusan sehingga kini dengan mereka ditindas supaya ‘mati sendiri’ tanpa perlu dibunuh.

“Makanan sangat kurang dengan har­ga barangan terlalu mahal. Kaum Rohingya yang masuk ke hospital sama ada untuk bersalin atau sakit, biasanya akan mati dan bukannya sihat.

“Kalau mereka benar tak bersalah, pemerintah dan tentera seharusnya membuka sempadan Arakan kepada dunia dan media supaya mereka tidak disekat untuk masuk. Hanya dengan cara ini saja kami boleh kembali ke bumi Arakan, tanah air sendiri,” katanya.