Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, pihaknya tidak harus dipersalahkan atas kelalaian melakukan kerja-kerja pembangunan di kawasan hutan tersebut oleh pengusaha ladang yang dipertanggungjawabkan.

“Bukan MBI yang langgar sya­rat (Jabatan Perhutanan) sebaliknya kontraktor atau pengusaha yang membuka ladang tersebut. Memang MBI yang mendapat kelulusan tetapi diberikan kepada pengusaha untuk melakukannya.

“Keputusan ini dibuat oleh Men­teri Besar terdahulu iaitu Us­taz Azizan (Tan Sri Azizan Abdul Razak) dan Mukhriz (Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir).

“Saya sudah beritahu dalam Dewan (sidang Dewan Undang Negeri) bahawa saya belum pernah beri kelulusan (meneroka hutan simpan) satu ekar pun untuk membuat ladang,” katanya se­lepas program Kembali Ke Seko­lah di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu banjir lumpur di Kampung Balong Ayam, Kampung Chong dan Kampung Durian Burung yang didakwa berpunca daripada kerja-kerja pembalakan Hutan Simpan Bukit Enggang di Sik.

Menurut Ahmad Bashah, pihak­nya telah meminta Jabatan Perhutanan negeri untuk mengambil tindakan serius termasuk meningkatkan penguatkuasaan serta melakukan rondaan dalam usaha menangani masalah tersebut di samping mengarahkan kerja-kerja pembangunan di kawasan seluas 1,000 hektar itu dihentikan.

Sementara itu, mengenai maj­lis yang diadakan, Pengarah Uru­san merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Hotel Seri Ma­laysia, Muhammad Solleh Ram­­li berkata, pihaknya me­nya­sar­kan kira-kira 300 keluarga akan mendapat manfaat daripada program Kembali Ke Sekolah yang perke­nalkan pada tahun ini.

“Menyedari kos sara hidup yang semakin meningkat telah memberi kesan besar kepada kumpulan B40 terutamanya golongan ibu tunggal dan kurang berkemampuan, kita berusaha untuk mengurangkan beban mereka.

“Ini adalah usaha yang dilihat membolehkan kita melaksanakan tanggungjawab sosial korporat secara tersasar kepada kumpulan tersebut,” ujarnya yang akan turut memberi bantuan sa­ma ke Johor.

Kira-kira 100 murid daripada keluarga kurang berkemampuan di daerah ini menerima beg sekolah serta baucar bernilai RM100 daripada Rangkaian Hotel Seri Malaysia bagi membuat persiapan kembali ke sekolah pada 1 Januari depan.