Malah, Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, agensi Kerajaan Persekutuan yang memberi faedah kepada rakyat itu akan diperkasakan lagi agar dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

“Saya tidak tahu dari mana datang dakwaan itu kononnya kerajaan Pakaran Harapan akan turup Kemas.

“Saya nak beri jaminan bahawa agensi kerajaan yang memberi manfaat kepada rakyat tentunya akan kita teruskan malah kita akan perkasakan lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis Kenduri Kesyukuran Parlimen Jerlun di sini hari ini.

Menurutnya, walaupun agensi tersebut ditubuhkan Kerajaan Persekutuan ketika zaman Barisan Nasional (BN) dahulu, ia akan diteruskan dalam usa­ha menyampaikan khidmat kepada rakyat.

“Tentunya termasuk sekali Tadika Kemas yang banyak berjasa kepada masyarakat di kawasan kampung, cuma saya ingat pen­tingnya ialah tidak sepatutnya ada unsur politik dalam menyampaikan khidmat kepada rakyat,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Mukhriz memberitahu, pihaknya akan memanggil beberapa pihak terlibat untuk berbincang ber­kenaan penilaian semula sistem perkhidmatan yang melibatkan Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

“Kita hendak melaksanakan janji kepada rakyat dan kita akan lihat semula sistem perkhidmatan di peringkat kampung sekiranya perlu, maka kita akan rombak semula JKKK.

“Seperti kita maklum setiap daerah ada pejabat daerah dan kemudian kita ada penghulu, ada ketua kampung jadi adalah menjadi tanggungjawab ketua kampung untuk memastikan setiap penduduk di setiap kampung itu dibela dengan secukupnya,” kata beliau.