Seorang penduduk kampung, Apoon Din, 56, berkata, sebagai anak jati Baling berketurunan Siam, kesetiaan mereka tidak pernah berkurang terhadap pimpinan penyandang Parlimen, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

“Mereka balas kesetiaan kami dengan memberi segala kemudahan yang diperlukan termasuk pemberian rumah, peluang pekerjaan dan paling penting pendidikan anak-anak Siam di sini tidak terabai.

“Mereka sentiasa datang menziarahi kami dan mengadakan pelbagai program untuk masyarakat Siam dan musim perayaan kami seperti Songkran, Loi Kratong dan lain-lain lagi pun mereka datang meraikannya,” katanya ketika ditemui pembe­rita dalam majlis Beramah Mesra bersama Masyarakat Siam di Simpang Empat di sini hari ini.

Menurutnya, pemimpin-pe­mimpin BN sebelum ini tidak datang dengan tangan kosong, malah ada sahaja buah tangan untuk dinikmati bersama.

Bagi Ampai Prom Riang, 50, walaupun kawasan tersebut yang merupakan antara penempatan terbesar masyarakat Siam di Ba­ling dan sering cuba dimasuki pembangkang, rata-rata penduduk di sini adalah penyumbang utama kemenangan BN.

“Kami mahu dan pilih pe­mimpin yang setia dengan kami kerana itulah sifat utama kaum kami, jika orang buat baik dan amanah, kami akan tetap setia dengannya, sampai bila-bila,” katanya.

Dalam pada itu, calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayu, Mohamed Noor Mohamed Amin berkata, penduduk Siam di sini amat dikagumi kerana taat setia dan sifat perpaduan serta keharmonian yang tertanam sejak dahulu lagi.

“Ini adalah satu peti undi yang sentiasa membawa kemenangan kepada BN dalam setiap pilihan raya dan sekali lagi kita mengharap­kan perkara itu berlaku di sini.

“Saya mempunyai keyakinan penuh dengan masyarakat Siam walaupun mereka golongan minoriti, kesetiaan mereka tidak pernah berbelah bahagi dan jika mereka memberi undi kepada kita, sudah pasti kita akan balas dengan menjaga kebajikan mereka,” katanya.