Program tersebut yang diadakan semalam di hotel berkenaan berjaya memanfaatkan seba­nyak 55 pelajar terdiri kalangan anak kariah masjid yang bakal menduduki peperiksaan tersebut hujung tahun ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Masjid Al Fateh Tanjung Pauh, Zakaria Zainol ber­­kata, program bertujuan memotiva­sikan kecemerlangan dalam ka­langan anak kariah.

“Program melibatkan seramai 55 pelajar dari beberapa sekolah dalam daerah Kubang Pasu dan Kota Setar.

“Para pelajar diberi bimbingan dan tunjuk ajar serta teknik untuk menghasilkan jawapan yang mantap dalam SPM bagi subjek Sains, Matematik, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah dan Pendidikan Islam,”katanya di sini hari ini.

Zakaria yang juga Pe­­ngurus Hotel Darulaman ber­kata, kerjasama strategik antara kedua-dua pihak untuk menganjurkan program seum­pama ini adalah bagi menunaikan tanggungjawab sosial dan kebajikan.

“Adalah menjadi harapan ibu bapa, pihak masjid dan pihak hotel agar lebih ramai lagi anak kariah mendapat kejayaan dalam akademik. Segala usaha dilakukan agar mereka berjaya di dunia dan akhirat,” katanya.

Selain program tersebut, katanya, pihak masjid turut me­ngadakan aktiviti gotong royong, korban, pengajian ilmu agama, berkhatan perdana dan bantuan kepada penduduk yang kurang berkemampuan.