Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, pihaknya yakin kejadian banjir kilat yang berpunca daripada fenomena alam tidak akan menjejaskan sektor pelancongan di negeri ini khususnya Langkawi.

Menurutnya, faktor air pasang besar dan taburan hujan yang luar biasa menyebabkan berlaku banjir kilat di beberapa daerah seperti Langkawi, Kota Setar, Kubang Pasu, Pendang, Kuala Muda dan Pokok Sena.

“Banjir ini berlaku bukan sebab kegagalan sistem perparitan tetapi sebab keadaan air pasang yang mana kita tidak boleh kawal. Tambahan pula, Langkawi adalah sebuah pulau yang memang dikelilingi air laut, jadi banjir memang boleh berlaku.

“Saya juga pasti, pelancong yang datang ke pulau ini faham dengan keadaan banjir ini kerana kejadian ini bukan selalu berlaku. Jadi boleh saya katakan bahawa banjir ini tidak akan menjejaskan sektor pelanco­ngan di Langkawi,” katanya kepada pemberita selepas Program Mesra Muafakat Syura Wanita UMNO di sini hari ini.

Terdahulu, Ahmad Bashah turut beramah-mesra dengan sukarelawan Salute Malaysia yang diketuai, Datuk Rizal Mansor yang menjalankan Misi Pasca Banjir Utara 2017 di negeri ini dan Perlis bagi membantu mangsa banjir.

Dalam pada itu, Ahmad Bashah turut menyangkal dakwaan pihak pembangkang yang menyifatkan banjir kilat yang melanda Kota Setar, Pokok Sena, Kuala Muda, Kuala Nerang dan Pendang berlaku disebabkan kelewatan pembinaan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB).

“Mereka (pembangkang) sepatutnya sama-sama bantu dalam hal ini bukannya menjadikan banjir ini sebagai satu isu. RTB bukan punca banjir berlaku dan selepas projek ini siap nanti, semua tidak perlu risau kerana kita bersedia untuk menghadapi kedatangan banjir besar seperti pada 2010 lalu,” ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya telah menyalurkan Bantuan Rakyat Kedah (Barakah) kepada mangsa banjir di negeri ini yang disenaraikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sementara itu, Rizal memberitahu, misi yang disertai kira-kira 400 sukarelawan terdiri daripada Pemuda UMNO serta golongan belia itu dibahagikan kepada dua kumpulan untuk menjalankan misi pascabanjir di Kedah dan Perlis.

“Kita telah membahagikan peserta kepada dua kumpulan untuk menjalankan mis di Pendang dan Kangar, Perlis yang mana mana kita membawa bantuan fizikal seperti pembersihan rumah dan mengecat rumah serta bantuan makanan.

“Selain itu, kita turut membawa pasukan doktor sukarelawan yang akan membantu menjalankan pemeriksaan kesihatan kepada mangsa banjir. Sebelum pulang ke Kuala Lumpur esok, kita akan singgah sebentar di Pulau Pinang yang turut terjejas untuk melaksanakan misi pascabanjir walaupun negeri tersebut tidak tersenarai sebelum ini,” katanya.

habis///