Penduduk Taman Cempaka di Selama, Ayob Saad, 60, berkata, masalah gangguan bekalan air yang berlaku hampir setiap hari selama beberapa jam dan adakala berlarutan beberapa hari perlu diselesaikan segera.

“Sejak kebelakangan ini, masalah gangguan bekalan air ini makin kerap berlaku tanpa makluman awal. Sebagai pengguna, sudah tentu masalah ini banyak menjejaskan aktiviti harian seperti membasuh pakaian dan memasak,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Sementara itu, pengusaha kedai makan, Zuhana Mat Zain, 35, memberitahu, masalah gangguan bekalan air yang kerap terjadi itu juga menyebabkan dia terpaksa menutup perniagaannya lebih awal.

“Masalah air ini turut menjejaskan waktu perniagaan saya. Saya berharap pihak kerajaan negeri mahupun SADA dapat mencari jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah ini segera,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu, Datuk Noorsabrina Mohd. Noor menggesa supaya usaha menaik taraf Loji Rawatan Air Lubuk Buntar dapat dipercepatkan dalam usaha menampung keperluan penduduk di tiga mukim berkenaan.

“Kerajaan negeri perlu mencari jalan untuk menyelesaikan masalah bekalan air ini berikutan jumlah penduduk di kawasan terlibat yang semakin bertambah.

“Sebelum ini saya sudah memohon untuk kerajaan menaik taraf Loji Rawatan Air Lubuk Buntar dan telah diluluskan namun status terkini, saya tidak pasti. Namun diharapkan kerja menaik taraf loji berkenaan dapat diteruskan demi kemudahan rakyat di kawasan Bandar Baharu,” katanya.

Pegawai Perhubungan Awam SADA, Ahmad Hakimi Abu Bakar ketika dihubungi berkata, masalah gangguan bekalan air di tiga mukim terbabit disebabkan tangki agihan R3 di Loji Rawatan Air Lubuk Buntar tidak berada pada paras stabil.

“Pihak SADA sudah cuba melakukan langkah-langkah untuk menstabilkan kembali paras tangki R3 itu supaya gangguan bekalan air di sekitar kawasan terbabit dapat dimi­nimumkan. Pengguna yang memerlukan bantuan bekalan air melalui lori tangki boleh menghubungi Pusat Informasi SADA di talian 1300880017,” katanya.