Biarpun Mek Mulung dikatakan berasal dari Ligor, Thailand namun diiktiraf sebagai seni warisan Kedah kerana Mek Mulung yang menggunakan bahasa Kedah Tua itu dikatakan pewarisnya hanya terdapat di Wang Tepus, Kubang Pasu se­hingga hari ini.

Ketua Penggerak Warisan Seni Budaya Negeri Kedah (Ak-rab), Saipol Bahari Mohd. Iman berkata, segelintir kelompok sahaja yang mengetahui tentang Mek Mulung walaupun teater tradisional itu dikatakan sudah berusia lebih 400 tahun.

Katanya, teater tradisional tersebut pada asalnya dipersembahkan sempena acara ritual sembah guru yang diadakan setahun sekali bagi tujuan perubatan di sebuah bangsal khas oleh pewaris Mek Mulung sahaja.

“Mungkin itu menyebabkan Mek Mulung tidak begitu dikenali ramai namun pada 2006, Akrab mula mengikuti projek perintis anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kedah untuk menghidupkan semula warisan teater tradisional dalam ka­langan rakyat negeri ini.

“Bagaimanapun untuk menghidupkan semula teater tradisional Mek Mulung ini bukan mudah, kami mengambil masa lebih setahun untuk mempelajari watak, dialog, muzik dan tarian bagi naskhah Putera Cahaya Bulan sahaja daripada JKKN Kedah dan tokoh seni ini sendiri,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Menurut Pengarah Terbaik Festival Teater Malaysia 2012 itu, pementasan Mek Mulung yang diperjuangkan Akrab kini sudah diubah suai dengan me­ngetengahkan keindahan seni dan budayanya sahaja serta disuntik dengan elemen moden bagi menarik minat orang ramai khususnya golongan muda.

“Bagi karya Putera Cahaya Bulan, saya selaku penulis skrip dan pengarah ada membuat perubahan penggunaan bahasa Kedah Tua kepada yang lebih santai bagi babak-babak tertentu tapi masih mengekalkan loghat negeri ini malah susun atur juga dibuat aspek tarian, lagu dan bentuk persembahan agar sesuai dengan pementasan pada zaman sekarang.

“Selain itu, topeng yang digunakan beberapa watak se­perti Awang Pengasuh, Awang Selamat dan Wak Nujum, kita buat semula untuk digunakan pemain-pemain Mek Mulung sekarang supaya keaslian persembahan tersebut masih ada,” ujarnya.