Yang Dipertua Mapim Sabah, Otoh Sibik Sahak berkata, pihaknya tidak menyangka ne­geri berkenaan dipilih menerima anugerah tersebut.

“Saya begitu gembira sekali dan ia menjadi satu kenangan yang sukar dilupakan.

“Pada masa ini, ahli Mapim di Sabah adalah seramai 1,600 orang dan ia melibatkan ahli dari dae­rah Kota Kinabalu, Kudat, Sandakan, Semporna, Lahat Datu dan Tawau,” katanya di sini.

Menurutnya, untuk menjadi satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mengendalikan Mapim yang aktif di seluruh negara bukan satu perkara mudah.

“Inilah kali pertama negeri Sabah dipilih menerima Anugerah Mapim Aktif peringkat kebangsaan. Pada tahun 2012, kita turut menerima Anugerah Mapim Aktif Daerah pada Mesyuarat Agung Ke-12 yang berlangsung di Pahang.

“Banyak perkara baharu perlu dipelajari oleh ahli-ahli Mapim Sabah dalam usaha menjaga institusi keluarga, terutama dalam menangani masalah anak-anak remaja dan lain-lain lagi,” kata­nya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pe­ngangkutan dan NGO negeri, Datuk Tajul Urus Mat Zain ketika berucap merasmikan program itu berkata, kehadiran hampir 500 ahli Mapim dari seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak berjaya mengeratkan hubungan baik di antara ahli yang terdiri daripada pelbagai kaum.