Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Badrol Hisham Hashim berkata, penduduk berke­-
naan bersetuju dengan cadangan itu demi memastikan keselamatan masing-masing sehingga masalah tanah runtuh itu diselesaikan segera.

“Keputusan diambil selepas mengadakan mesyuarat bersama wakil penduduk dan ketua jabatan di Pejabat Majlis Daerah Baling, mereka bersetuju untuk berpindah sementara supaya kerja-kerja analisis struktur tanah dapat dijalankan dengan sempurna oleh Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram).

“Ikram dilantik sebagai juru perunding untuk membuat keputusan struktur tanah di kawasan itu selamat atau tidak untuk penduduk mendiaminya,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat rumah penduduk di Taman Harmoni, Charuk Nau, semalam.

Menurutnya, mereka melantik Ikram bagi menganalisis struktur tanah yang menyebabkan berlaku runtuhan tebing sehingga mengancam keselamatan penduduk di taman itu.

“Dijangkakan dalam tempoh sebulan, keputusan mengenai kedudukan rumah terbabit de­ngan runtuhan itu diperoleh.

“Selepas Ikram membuat keputusan pemaju perumahan juga bersetuju untuk perbaiki kerosakan dan sedia berunding dengan pemilik tanah untuk kerja-kerja membina cerun bagi mengelak tanah runtuh apabila hujan lebat,” katanya.

Katanya, Ikram juga akan berbincang dengan pemaju perumahan sekiranya kawasan itu tidak selamat dan kaedah lain akan diputuskan kerana masih menjadi tanggungjawab pemaju.

“Runtuhan itu berisiko kerana hampir dengan rumah kira-kira dua meter malah ada di bahagian bilik rumah penduduk tertimbus selepas hujan lebat.

“Untuk tempoh jangka masa panjang dan keselamatan penduduk di situ, kajian struktur tanah dan kerja-kerja membaik pulih perlu diselesaikan dengan cepat dan ia perlu ditangani dengan berhemah bagi keselamatan penduduk,” katanya.