NORHIZAN ISMAIL

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Norhizan Ismail berkata, mangsa kini terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan.

“Hasil pemeriksaan dan penilaian semula oleh pakar perubatan kebakaran HSB mendapati mangsa mengalami kebakaran 70 peratus dengan full thickness skin burn,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Menurut Norhizan, mangsa ber­umur 50-an itu mendapat ra­watan kecemasan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Su­ngai Petani pada pukul 8.30 pagi semalam dan dibawa ke HSB kira-kira pukul 10 pagi.

Utusan Malaysia semalam melaporkan lima warga Indonesia yang ditemukan rentung dalam kebakaran membabitkan empat buah rumah di Kampung Sungai Gelugor, Taman Petani Jaya di sini dikatakan menjerit meminta tolong selama 20 minit sebelum lenyap dalam api marak.

Api marak begitu pantas menyebabkan saksi termasuk jiran tidak mampu menyelamatkan mangsa berkenaan dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi itu.

Dalam perkembangan ber­kai­tan, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ne­geri, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Abdul Razak Muda ketika dihubungi berkata, sepa­sukan penyiasat dari ibu pejabat JBPM telah turun ke lokasi kejadian semalam untuk menyiasat dengan lebih lanjut.

“Pasukan penyiasat itu turut dibantu pasukan Unit Anjing Pengesan,” katanya.