MADA dalam satu kenyataan di sini mengesahkan, daripada pemantauan yang dibuat, varieti ini ditanam oleh seorang peladang di kawasan Tambun Tulang, Arau di Perlis dengan keluasan suku relong.

“Pihak MADA membuat pemantauan berterusan sejak mula dikesan pada awal Januari lalu bagi memastikan tiada bawaan perosak dan penyakit daripada varieti ini dan boleh menjejaskan varieti lain yang ditanam oleh peladang lain,” katanya di sini hari ini.

Katanya, MADA sentiasa menasihatkan peladang-peladang agar sentiasa menggunakan benih padi sah yang diiktiraf.

“Penggunaan benih tidak sah berkemungkinan boleh menyebabkan kehilangan hasil yang teruk,” katanya.

Akhbar hari ini melaporkan Jabatan Pertanian Perlis membongkar kegiatan penanaman padi Black Madras, sejenis padi asing berwarna hitam dikatakan berasal dari Korea, yang ditanam secara haram di Tambun Tulang di sini.

Tanaman yang benihnya dipercayai dibawa masuk secara haram melalui kapal terbang itu, dikesan agensi tersebut setelah pemilik­nya mula mengiklankan penjualan benihnya di Facebook beberapa hari lalu. - UTUSAN ONLINE