Pelbagai pihak mengambil inisiatif untuk mempromosikan makanan tersebut yang bertujuan menarik lebih ramai pelancong ke daerah ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelak­sana Bandaran, Mohd. Noor Mohd. Amin berkata, usaha tersebut merupakan inisiatif dan idea Yang Dipertua Majlis Daerah Ba­ling (MDB), Datuk Dzohir Md. Zain untuk mempopularkan Baling.

“Langkah ini bertepatan untuk menguar-uarkan kepada ma­sya­rakat tempatan dan juga pelancong bahawa kita mempu­nyai pro­duk makanan yang sa­ngat istimewa untuk dinikmati.

“Pemasangan papan tanda ik­lan untuk menunjuk arah dan pemberitahuan akan memudahkan lagi penggemar laksa mencari lokasinya dengan mudah,” kata­nya ketika ditemui di Gerai Laksa Tok Weng, Kampung Tok Weng, baru-baru ini.

Dalam lawatan itu, Dzohir turut merasmikan gerai tersebut dengan meletakkan papan tanda iklan di persimpangan jalan m­asuk ke gerai tersebut.

Mohd. Noor yang juga Ahli Majlis Daerah Baling (MDB) berkata, selain laksa, usaha mempromosikan sate, nasi dalam buluh, gulai rias pisang, ubi gadong dan sebagainya akan diadakan dari semasa ke semasa supaya makanan tersebut terus dikenali dan dinikmati oleh pengunjung.

Sementara itu, pemilik gerai Laksa Tok Weng, Norianti Mustafa, 43, berkata, dia menjual makanan itu bersama suaminya, Rosjalani Yahaya, 50, sejak 1996.

“Kami dibantu oleh anak sulung, Nurul Ain Rosjalani, 25, dan dua lagi pekerja memandangkan jualannya semakin laris dan disukai ramai.

“Harga semangkuk laksa antara RM3 hingga RM4 dan permintaan pa­ling tinggi laksa dicampur dengan bihun goreng,” katanya.

Katanya, proses memasak kuah laksa bermula seawal 8 pagi dan gerai mulai dibuka pada pukul 12 tengah hari hingga 5 petang setiap hari ke­cuali Sabtu.

Adunan kuahnya dengan bahan utama ikan selayang atau ikan kembung yang dimasukkan asam keping, bunga kantan, daun kesom, garam secukup rasa serta daun samak menjadikan ia bertambah sedap dengan aroma kuahnya yang pastinya penggemar laksa tidak sabar untuk menikmatinya.

Norianti dan suaminya me­ngambil alih gerai itu daripada saudara mereka dengan mengeluarkan modal sebanyak RM200 sahaja dan menjual laksa de­ngan harga 50 sen semangkuk.

Sehingga kini, jualan Laksa Tok Weng boleh mencecah hingga RM600 sehari ter­utamanya pada hujung mi­nggu dan musim cuti sekolah.

“Kami perlu menyediakan lak­sa sebanyak 20 kilogram (kg) dan ikan 10kg untuk jualan hari itu dan kadangkala ia tidak mencukupi kerana kehadiran ramai pelanggan.

“Kami juga berniaga sepanjang bulan puasa di bazar Ramadan dan jualannya memberangsangkan sehingga kami menyediakan 50kg laksa dengan 40kg ikan,” katanya.

Norianti berkata, dia amat terharu dengan permintaan Laksa Tok Weng yang di luar jangkaan dan semakin diminati terutama apabila laksa tersebut tular di media sosial baru-baru ini.

Disebabkan itu, pelanggan yang datang bukan sahaja dalam kala­ngan penduduk tempatan, malah pelancong dari Kuala Lumpur, Johor, Kelantan dan Pahang turut singgah untuk menikmatinya.

Sementara itu, Nurul Ain ber­kata, dia berminat meneruskan perniagaan ibu bapanya meman­dangkan sambutan yang amat memberangsangkan.

“Saya membantu ibu bapa da­lam usaha memperkembangkan lagi jualan Laksa Tok Weng ini memandangkan saya berminat dalam bidang perniagaan.

“Selain laksa dan bihun, kami juga menyediakan bihun sup, rojak, ais kacang, sirap bandung, sirap cincau dan sebagainya,” kata Nurul Ain yang juga lepasan Diploma Perancangan Bandar dan Wilayah, Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, Jitra.

Penggemar Laksa Tok Weng, Nurul Atikah Abu Hasan, 23, dan adiknya, Siti Aishah Abu Hasan, 18, dari Kampung Tiak, Kupang, berkata, dalam sebulan, lima kali mereka datang ke gerai itu untuk menikmati laksa yang istimewa itu.

“Kami amat menggemari laksa ini kerana kuahnya sedap, lain daripada yang lain kerana isi ikannya pekat, ulam-ulaman se­perti timun, salad, hirisan bawang serta cili padinya yang banyak dan juga terdapat sebiji telur rebus.

“Harganya juga amat berpatutan, kadangkala semangkuk laksa dan ais kacangnya boleh dimakan untuk dua orang,” kata Nurul Atikah.