Lantas bagi memeriahkan kem­bali suasana perkampungan masyarakat Mandailing di situ, satu aktiviti menarik dilakukan dengan inisiatif Ikatan Mandai­ling Malaysia -Indonesia (Imami) Cawangan Kedah dan Pulau Pinang, baru-baru ini.

Antara program pertama yang menarik perhatian ialah jamuan Hari Raya Aidilfitri selepas upa­cara Perasmian Perkampungan Mandailing Kedah yang disempurnakan oleh Presiden Imami Malaysia, Datuk Ahmad Tamimi Siregar.

Pengerusi Imami Cawangan Kedah dan Pulau Pinang, Padzil Othman Pulungan berkata, pelbagai aktiviti lain akan dilakukan selepas ini dalam usaha memperkenalkan masyarakat itu kepada umum.

Beliau berkata, usaha itu juga inisiatif mereka untuk terus me­ngukuhkan ikatan kekeluargaan masyarakat berkenaan.

“Saya gembira sekali kerana masyarakat Mandailing yang tinggal di sekitar negeri Kedah dan Pulau Pinang memberi kerjasama dan hadir di program tersebut.

“Tanpa kehadiran mereka tentu suram program itu,” katanya.

Padzil Othman berkata, usaha giat dilakukan supaya amalan kunjung mengunjung dapat dilakukan dalam kalangan masyarakat itu selepas perjum­paan pertama ini.

Katanya, masyarakat Mandailing ketika ini tinggal di merata tempat di seluruh negara dan kini generasi mudanya dikatakan tidak berupaya lagi untuk me­nguasai serta bercakap Mandai­ling dengan baik antara satu sama lain.

“Saya berharap seluruh anggota keluarga masyarakat Mandailing yang tinggal di 25 rumah di Kampung Jerung Atas di sini dapat mempelajari semula untuk terus bertutur bahasanya setiap hari.

“Dulu ada kira-kira 70 rumah penduduk masyarakat Mandai­ling tinggal di sini tetapi ramai antara mereka berpindah, termasuk bekerja di tempat lain serta mengikut pasangan masing-masing setelah berkahwin,” katanya.

Seorang penduduk di situ, Ghazali Aziz, 59, berkata, pelbagai peristiwa lama dikenang semula setelah nenek moyang mereka, terutama dari Sumatera Utara, Indonesia merantau dan menetap di Tanah Melayu antara 120 dan 150 tahun lalu.

“Bagaimanapun, banyak per­kara menarik berjaya dilakukan oleh Ikatan Mandailing Malaysia-Indonesia setelah ia ditubuh beberapa tahun lalu.

“Asal nenek moyang masyarakat Mandailing terdiri daripada empat daerah, iaitu Mandailing Natal, Tapanuli Selatan, Padang Lawas dan Padang Lawas Utara serta satu pihak berkuasa perbandaran di Padang Sidimpuan yang mana ibu kota­nya terletak kira-kira 480 kilome­ter dari bandar Medan dan kira-kira 25O kilometer dari Padang, Sumatera Barat,” katanya.

Bashariah Abdul Rahman Pulungan, 57, berkata, dia lahir di Kampung Jerung Atas dan kini tinggal bersama keluarga di Kampung Charuk Kelian, Pulau Baling.

“Dulu ada ibu bapa berupaya bercakap Mandailing dengan baik tetapi generasi kami sudah ramai tidak boleh lagi menguasai bahasa itu.

“Saya berharap Imami dapat melakukan sesuatu selepas perjumpaan di sini,” katanya.

Seorang gadis di kampung itu, Salwa Hanim Mohd. Ghozali, 24, berkata, dia begitu gembira sekali dengan adanya perjumpaan seumpama ini.

“Saya sendiri tidak boleh lagi bercakap bahasa Mandailing.

“Pertemuan begini begitu bermakna sekali dalam menjalin hubungan baik antara keluarga kami termasuk yang datang dari jauh dan dekat,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Tarmimi berkata, kini lebih banyak papan tanda perkampungan Mandailing akan dibina di seluruh negara termasuk di Johor, Perak, Negeri Sembilan dan Selangor.

“Jika anak-anak muda ada masalah, sila rujuk sahaja berkaitan dengan tata cara kehidupan masyarakat mandailing kepada pemimpin tempatan. Sebelum ini, kehidupan masyarakat Mandailing agak diketepikan.

“Sesungguhnya, generasi baru yang lahir hari ini perlu ambil berat mengenainya dan mereka ada keluarga masing-masing serta ada adat resam sendiri,” katanya.