Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Kuih raya dari ‘tirai besi’ semakin popular

Penjara Pokok Sena tawar 15 jenis biskut raya kepada orang ramai

Mohd. Solehuddin Abd. Latif  bersama tiga pegawai penjara wanita 6
Mohd. Solehuddin Abd. Latif bersama tiga pegawai penjara wanita memeriksa sebahagian biskut yang telah dibungkus oleh banduan.

POKOK SENA 14 Jun - Bagaikan tidak lengkap meraikan Syawal tanpa kuih raya seperti bahulu, biskut makmur, mazola dan samperit yang sememangnya sudah sinonim dalam kalangan masyarakat Malaysia sejak sekian lama.

Jika dahulu, ramai yang gemar membuat sendiri kuih raya namun kini semuanya sudah berubah seiring dengan perkembangan zaman yang mana juadah yang bakal dijamu kepada tetamu itu sudah boleh dibeli dengan mudah.

Penjara Pokok Sena adalah antara institusi pengeluar kuih raya yang menjadi tumpuan orang ramai, agensi kerajaan mahupun syarikat swasta di negeri ini untuk mendapatkan beraneka kudapan yang mahu disajikan kepada sanak-saudara dan kenalan yang berkunjung ke rumah.

Penduduk Kampung Bukit, dekat sini, Rofeah Puteh, 48, berkata, sudah dua tahun dia membeli beraneka kuih raya yang dijual di Galeri Penjara Pokok Sena kerana harganya yang murah berbanding di pasaran selain rasanya yang enak.

“Sebenarnya, sudah lama Penjara Pokok Sena ini menjual kuih raya tetapi saya baru pertama kali membelinya tahun lalu disebabkan harganya berpatutan dan rasanya juga sedap, saya datang lagi untuk membeli kuih raya keluaran Penjara Pokok Sena ini.

“Sebenarnya, ini kunjungan kali kedua saya ke galeri ini kerana minggu lalu, saya sudah membeli kuih makmur, tart nanas dan beberapa jenis kuih lain. Hari ini saya datang ke sini lagi untuk membeli enam balang kuih makmur yang dipesan adik serta mahu menambah beberapa jenis biskut raya lagi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Che Tom Abd. Rawi, 60, memberitahu, dia baru pertama kali membeli kuih raya hasil air tangan banduan di penjara tersebut selepas jirannya memberitahu terdapat pelbagai jenis biskut yang dijual pada harga berpatutan.

“Sebelum ini, setiap kali Ramadan saya akan mengambil upah membantu rakan membuat kuih raya. Biasanya, saya hanya membeli kuih raya daripada dia sahaja. Namun pada tahun ini, saya sudah lagi tidak mengambil upah membuat kuih raya dan seorang rakan mencadangkan saya datang ke sini.

“Katanya kuih raya yang dijual di galeri ini sedap-sedap dan lebih murah berbanding kuih raya yang dijual di luar, itu yang saya nak mencuba,” ujarnya.

Sementara itu, tinjauan ke galeri tersebut mendapati seba­nyak 15 jenis kuih raya terma­suk tart nanas, almond London dan kuih makmur dijual kepada orang ramai pada harga antara RM18 hingga RM23 sebalang.

Guru Kemahiran Bengkel Pastri, Mohd. Solehuddin Abd. Latif berkata, pihaknya kali ini memperkenalkan dua jenis kuih baharu iaitu peas delight dan chocholate cookies selain mengekalkan produk yang mendapat sambutan pada tahun lalu.

“Saya boleh memberi jaminan bahawa kualiti produk yang ditawarkan adalah setanding dengan kuih raya yang berada di pasaran meskipun harga biskut di sini jauh lebih murah. Ini kerana kita tidak berkompromi dari segi penggunaan bahan.

“Lebih istimewa, hampir ke­seluruhan proses menyiapkan kuih raya keluaran Penjara Pokok Sena ini dibuat secara handmade membabitkan kira-kira 40 banduan wanita yang mempunyai sijil SLDN (Sistem Latihan Dual Nasional) dalam bidang pastri.

“Mereka yang juga diberi suntikan oleh pegawai Kementerian Kesihatan sebelum dibenarkan mengendalikan makanan, me­lakukan sendiri proses mengadun, membakar dan pembungkusan dengan menggunakan resipi yang telah saya sediakan,” katanya.

Menurut Mohd. Solehuddin, pihaknya juga akan menghasilkan pelbagai jenis kek seperti kek keju, kek lapis asam, kek oreo dan kek buah yang akan dijual di Galeri Penjara Pokok Sena pada minggu terakhir Ramadan bagi membolehkan orang ramai menjadikannya sebagai juadah untuk disajikan kepada tetamu.

Dalam pada itu, Pengarah Penjara Kedah, Mohd. Sabri Yaacob berkata, pihaknya menyasarkan jualan kuih raya sebanyak RM250,000 pada tahun ini walaupun hasil jualan tahun lalu melebihi RM300,000.

“Pada tahun ini, kita mele­takkan sasaran jualan yang lebih rendah kerana tempoh jualan lebih pendek iaitu selama 20 hari bermula 4 Jun lalu. Bagaimanapun, kita yakin mampu mencapai lebihan sasaran jualan berikutan sambutan menggalakkan daripada orang ramai, agensi kerajaan dan syarikat korporat.

“Ini juga kerana orang ramai telah yakin dengan produk yang dihasilkan Penjara Pokok Sena adalah berkualiti malah telah mendapat sijil Mesti (Skim Makanan Selamat Tanggungjawab Industri).

“Selain itu, pada tahun ini kita menggunakan bekas kedap udara untuk mengisi kuih raya agar biskut yang dihasilkan tahan lama. Malah dengan promosi belian lebih 50 balang akan mendapat diskaun RM1 bagi setiap balang juga diharap membantu melonjakkan jualan kuih raya pada tahun ini,” ujarnya.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain