Walaupun masih terdapat segelintir masyarakat pada masa kini yang memandang rendah terhadap badut yang dianggap seolah-olah cuba memperbodohkan diri sendiri di sekitar majlis sambutan ulang tahun atau karnival dengan berbekalkan pelbagai jenis belon dan alatan magis.

Pandangan tersebut bagai­ma-
­napun tidak sedikit pun mengubah pendirian bahkan menguatkan lagi semangat Caplo De Clown atau nama sebenarnya Mohd. Zulkifli Abd. Razak, 26, yang menjadikan kerjaya badut sebagai sumber pendapatan dirinya.

Sikap semula jadinya yang gemar menyakat orang dan suka terhadap kanak-kanak membuatkan Mohd. Zulkifli berminat menjadikan badut sebagai kerjaya sepenuh masa sejak empat tahun lalu.

“Selepas tamat sekolah, saya mencuba pelbagai kerja. Kerja di kedai makan, nurseri dan terbabit dalam bidang pemasaran namun semua ‘tidak menjadi’.

“Pada 2012, saya beberapa kali menemani seorang rakan yang lebih dikenali sebagai Eyjat Clown yang baru menjinak-jinakkan diri menjadi badut.

“Sejak itu, timbul minat untuk menjadi badut. Daripada Eyjat, saya belajar serba sedikit teknik untuk menghiburkan orang ramai terutamanya kanak-kanak dengan menggunakan belon. Kemudian, saya mempelajari sendiri teknik menyolek wajah dan membuat kraf belon daripada pelbagai sumber termasuk YouTube.

“Kemudian, saya mula membeli satu persatu barang-barang keperluan untuk menjadi badut seperti kostum dan alat solekan badut, rambut palsu, topi dan kasut gaya McDonalds sebelum serius menjadikan badut sebagai kerjaya sepenuh masa pada peng­hujung 2013,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, memilih kerja­ya sebagai badut yang bergerak sendirian bukan perkara yang mudah ditambah pula pendapatan bulanan tidak menentu namun anak kelima daripada enam adik-beradik itu tidak mahu mengalah.

“Ketika di awal pembabitan saya dulu, saya pernah mendapat bayaran sehingga RM6,000 sebulan namun pada masa ini, bukan mudah untuk mendapat job di majlis atau karnival.

“Bagi membuat penampilan selama dua jam, saya akan me­ngenakan bayaran RM350 untuk kawasan di sekitar Alor Setar, Jit­ra, Pendang dan Gurun manakala Perlis dan Pulau Pinang sebanyak RM400.

“Saya juga ada membuat perkhidmatan badut di Langkawi dengan kadar bayaran RM700 bagi penampilan selama dua jam. Jika saya tidak mempunyai sebarang tempahan untuk mana-mana majlis, saya akan busking di Tesco, Mergong.

“Dengan menjual belon sambil menghiburkan orang ramai yang datang ke Tesco mulai pukul 5 petang, boleh juga saya mendapat pendapatan sekurang-kurangnya RM50 sehari,” katanya.

Menurutnya, dia juga gemar mencuba pelbagai solekan untuk mempelbagaikan karektor badut.

Bercerita mengenai kerjaya­nya sebagai badut, Mohd. Zulkifli memberitahu, dia bernasib baik kerana orang di sekelilingnya termasuk tunangnya, Nurul Shaz­wani Azizan, 18, menerima dan memberi galakan sepenuhnya terhadap bidang yang diceburinya itu.

“Keluarga memang tidak menghalang kehendak saya untuk menjadi badut. Malah, pertemuan pertama dengan tunang ketika saya sedang bekerja. Saya bersyukur kerana mereka semua menerima kerjaya saya yang unik ini dengan hati terbuka.

“Saya sebenarnya tidak malu hendak mengakui menceburi bidang ini dan mendedahkan identiti saya kepada masyarakat,” katanya.

Pada awal pembabitan dalam bidang ini, katanya, tidak dinafikan ada juga perasaan malu namun lama-kelamaan menjadi ‘selesa’ menghiburkan orang ramai terutama kanak-kanak.

Mohd. Zulkifli berkata, kerjaya­-
nya memerlukan dirinya memberi hiburan kepada kanak-kanak namun ramai dalam kalangan mereka juga sebenarnya mempunyai perasaan takut untuk berjumpa dengan badut.

“Bukan sahaja kanak-kanak, malah orang dewasa ada yang takut untuk berhadapan dengan badut.

“Jadi saya perlu memilih pendekatan yang sesuai tanpa perlu mela­kukan aksi menjelikkan untuk menghiburkan mereka terutamanya penonton cilik,” katanya.

Mohd. Zulkifli juga merancang untuk melatih junior clown pada masa depan supaya bidang tersebut terus ‘hidup’ untuk menghiburkan orang ramai.

Bagi yang mahu menempah Caplo De Clown untuk ke acara kanak-kanak dan sebagainya boleh menghubungi talian 017-4160625 atau laman Facebook miliknya di Badut Kedah Perlis Pe­nang.