Norhizan Ismail

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Norhizan Ismail berkata, Kuala Muda menunjukkan peningkatan kes tertinggi iaitu 148 kes berbanding lapan daerah lain dengan jumlah keseluruhan dilaporkan sebanyak 238 kes berbanding 135 kes sebelum ini.

“Daerah lain yang menunjukkan peningkatan ialah Kulim dengan 180 kes, Kubang Pasu (47 kes), Langkawi (21 kes), Sik (31 kes), Padang Terap (16 kes), Bandar Baharu (12 kes), Baling (74 kes) dan Kota Setar (35 kes).

“Di Kuala Muda terdapat tiga lokaliti wabak demam denggi yang aktif iaitu di Taman Sri Tanjung, Taman Arked dan Taman Ria Jaya Zon A. Sementara itu, di Padang Terap dan Sik masing-masing terdapat dua lokaliti wabak demam denggi yang aktif.

“Dalam pada itu, Pendang dan Yan ma­sing-masing menunjukkan penurunan kepada lapan serta lima kes,” katanya dalam satu ke­nyataan di sini hari ini.

Norhizan berkata, sebanyak 171 kes chikungunya dicatatkan di negeri ini dari Januari hingga Sabtu lalu.

“Kes chikungunya dilaporkan di lima daerah iaitu Kuala Muda (96 kes), Baling (72 kes) manakala Kulim, Kubang Pasu dan Sik masing-masing satu kes. Bagaimanapun, wabak chikungunya telah tamat di Baling dan tiada lagi lokaliti wabak aktif di Kulim, Kubang Pasu dan Sik.

“Wabak aktif chikungunya kini hanya aktif di Kuala Muda iaitu di satu lokaliti di Taman Ria Zon 4 dengan empat kes dicatatkan bermula 24 Mei lalu,” katanya.

Menurutnya, Jabatan Kesihatan negeri mengeluarkan 2,812 kompaun bernilai RM1,406,000 terhadap premis yang gagal mematuhi Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975.