Pergerakan Nor Alia Natasya Mohd. Azhar, 12, sebelum ini terbatas kerana dia hanya menggunakan tongkat untuk berjalan memandangkan kaki kanannya kudung sejak lahir lagi.

Katanya, dia menggunakan to­ngkat sejak berada di tahun empat lagi memandangkan keluarga tidak mampu membeli kerusi roda.

“Hari ini saya amat gembira apabila menerima kerusi roda baharu untuk kemudahan perge­rakan saya di sekitar sekolah ini sewaktu sesi pembelajaran,” kata Nor Alia Natasya ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan Kuala Pegang di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, pihak sekolah turut membantunya dengan me­ngubahsuai kelas yang sedia ada di tingkat dua ke aras bawah supaya dia lebih mudah bergerak.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Baling, Mohd. Noor Mohd. Amin yang menyampaikan sumbangan itu berkata, beliau amat bersimpati dengan nasib yang menimpa pelajar ini.

“Saya amat bersimpati dengan mereka apatah lagi Nor Alia Natasya akan menduduki peperiksaan UPSR pada tahun ini.

“Saya cuba membantu memberikan keselesaan dan kemudahan kepada mereka supaya mereka dapat belajar dengan baik dan sempurna dan seterusnya mendapat kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaannya nanti,” kata Mohd. Noor ketika menye­rahkan kerusi roda kepada pelajar tersebut.

Beliau turut menyampaikan sumbangan kerusi roda kepada pelajar tahun satu, Nur Zulaikha Syuhaimi, 7, yang mengalami ma­salah tulang pinggul.