Menerusi penganjuran program tersebut, pelbagai aktiviti menarik diatur terutamanya bercirikan tradisional seperti sepak raga tuju, pertandingan menangkap itik dalam bendang serta permainan dam ular gergasi.

Paling menarik, kerja-kerja pe­nganjurannya tidak hanya di­lakukan MADA semata-mata se­­baliknya dijalankan secara mua­­fakat bersama peduduk kam­­pung bagi memastikan ja­linan erat antara MADA dan ma­syarakat desa, terutamanya para petani yang mengusahakan bendang kekal utuh.

Untuk penganjuran yang memasuki edisi keempat tahun ini, program tersebut diadakan di Kampung Siputeh, Padang Sera dekat sini dengan melibatkan penyertaan penduduk di beberapa lagi kampung berjiran iaitu Kampung Lindungan Bulan, Kampung Pulau Siputih dan Kampung Seberang Siputih.

Program dirasmikan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek itu berlangsung selama dua hari bermula 31 Mac lalu dan berjaya menarik kedatangan sehingga lebih 3,000 pengunjung terdiri daripada penduduk kampung serta masyarakat sekitar yang teruja menyertai pelbagai aktivitinya.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz yang juga Pengerusi MADA dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Ismail Bakar.

Dalam ucapannya, Othman ber­kata, program tersebut merupakan sebahagian daripada ‘tra­disi’ yang cuba diperkenalkan MADA sebagai tanda bermulanya musim pertama menanam padi setiap tahun.

“Tidak hanya mengatur acara untuk berseronok semata-mata, tetapi kami juga itu turut mengadakan ceramah agama dikendalikan penceramah terkenal, Datuk Mohd. Kazim Elias selain jualan barangan keperluan pada harga murah serta pameran menarik oleh agensi-agensi kerajaan.

“Dalam program ini juga ka­mi merancang untuk memberi pe­nerangan serta membuat de­monstrasi bagaimana penanaman padi menggunakan teknik tabur terus kering dijalankan kerana sebelum ini semua pihak bimbang terhadap kadar bekalan air.

“Namun kebelakangan ini hujan turun mencurah-curah dan alhamdulillah para petani boleh menanam padi menggunakan kaedah biasa yang lebih menguntungkan,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Sha­bery dalam ucapannya memuji komitmen MADA serta pendu­duk kampung dalam menjayakan program tersebut.

Beliau yang nyata gembira de­ngan konsep diperkenalkan itu turut bercadang untuk membawa amalan sama ke negeri-negeri lain bagi membolehkan golongan petani dapat lebih didekati.

“Saya seronok berada di sini. Saya mahu warga kementerian serta agensi terlibat mengambil contoh bagaimana program-program yang mahu diadakan tidak semestinya dibuat di bandar-bandar besar semata-mata sebalikya boleh juga diadakan di ceruk desa termasuk di pekarangan rumah penduduk kampung seperti hari ini.

“Lauknya tidak perlu banyak kerana hanya dengan gulai kawah, ikan kering, ulam-ulaman serta sambal belacan, itu pun sudah cukup menyelerakan. Paling pen­ting, para penduduk dapat bersama kita bagi meluahkan masalah serta beramah mesra,” katanya.

Keterujaan Ahmad Shabery me­nyertai program tersebut cu­kup jelas apabila beliau lebih selesa berjalan kaki daripada menaiki kenderaan disediakan untuk ke mana-mana tempat walaupun keadaan hujan renyai, bagi memudahkannya melihat keadaan sekeliling selain bertegur sapa dengan penduduk kampung.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung Se­­berang Siputih, Jasmi Mohd. Ismail, 53, berkata, para penduduk terlibat memberi reaksi yang cukup baik dan berharap program tersebut biarpun hanya dimaklumkan mengenainya kira-kira dua minggu sebelum diadakan.

“Semua pihak saling beke­r­jasama untuk menjayakan program ini termasuk bagi mengadakan kenduri rakyat. Rata-rata penduduk kampung cukup seronok dengan aktiviti diadakan selain berpeluang bertemu pe­mimpin.

“Ini bukan kali pertama Ahmad Shabery datang ke sini kerana beliau pernah mengha­diri kenduri yang diadakan di sini sebelum ini. Tak sangka pula, beliau cukup berminat datang ke sini dan kami berharap program seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang,” ­kata­nya.