Mengambil sempena nama pokok tuba, pulau yang mempunyai penduduk kira-kira 5,000 orang ini merupakan antara tiga pulau yang didiami manusia daripada 99 gugusan pulau yang terdapat di Langkawi.

Keistimewaan Pulau Tuba adalah suasana permai desa yang masih terpelihara manakala kehidupan masyarakatnya yang majoriti bekerja sebagai nelayan dan petani tampak serba ringkas tanpa dibelenggu arus pemodenan.

Pulau yang mempunyai landskap berpandangan indah dengan bilangan kereta terhad mampu menggamit kedatangan pelancong yang dahagakan kehidupan serba ringkas diselaputi kedamaian alam.

Bagi penduduk tempatan, Siti Rohani Mohd. Yusof, 27, berkata, Pulau Tuba boleh diibaratkan seperti keadaan Langkawi pada era 80-an sementelahan kini Pulau Langkawi sarat dengan arus pemodenan yang menarik kedatangan pelancong dari serata dunia.

“Di pulau ini tidak ada pencemaran udara dan alam semula jadinya masih menghijau mungkin kerana tidak banyak kereta di sini.

“Di sini, motosikal menjadi pengangkutan utama manakala bilangan kenderaan berat atau kereta mungkin tidak sampai 30 buah sahaja. Kebanyakan ken­deraan itu digunakan untuk me­ngangkut barang atau dijadikan kereta sewa kepada pelancong,” katanya.

Menurut Siti Rohani, kehi­dupan masyarakat di pulau tersebut begitu ringkas dan apabila mempunyai kelapangan, mereka lebih gemar berkelah di tepi pantai, memancing ikan, berbual-bual di kedai kopi manakala kanak-kanak pula bermandi-manda di laut.

Dia yang mengusahakan kedai makan bersama ibunya membe­ritahu, biarpun terpencil, namun Pulau Tuba dilengkapi kemudahan seperti bekalan air bersih, elektrik, sekolah dan klinik kesihatan.

“Bagaimanapun di sini tiada pusat beli-belah yang besar, ha­nya ada kedai runcit. Jika mahu membeli barang untuk ke­perluan berniaga yang tiada di sini barulah saya menaiki bot ke bandar Kuah,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Selat Bagan Pauh, Shahidan Hashim berkata, semangat kekitaan dalam kalangan penduduk yang majoritinya Melayu masih kuat terjalin.

“Kehidupan masyarakat di Pulau Tuba santai dan ringkas, jauh daripada hiruk-pikuk bandar. Di­sebabkan bilangan penduduk di sini yang tidak begitu ramai, kebanyakan kami me­ngenali antara satu sama lain.

“Malah jika diadakan kenduri atau majlis perkahwinan, kami akan bergotong-royong menyediakan juadah kepada tetamu,” katanya.