Menteri Besar Kedah itu berkata, ketika ini perbincangan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang terdiri da­ripada wakil rakyat Pas dan Barisan Nasional (BN) sedang berlangsung dengan beberapa perkara ditawarkan kepada mereka bagi menyelesaikan isu tersebut secara baik.

“Saya tak nampak ada keperluan mendesak untuk diadakan PRN dengan kos di pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) saja dijangkakan mencecah RM18 juta. Kalau isu ini berjaya diatasi sebaik mungkin sebelum atau pada 4 Julai nanti, tidak akan timbul lagi isu PRN yang mana saya percaya bukanlah sesuatu yang diinginkan semua pihak termasuk Pas.

“Saya tak fikir mereka perlu berkeras kerana pendekatan saya adalah memujuk mereka untuk bersama membangunkan negeri. Dalam era Malaysia baharu ini, hubungan antara kerajaan dan pembangkang tak macam dulu yang mana kami akan mengiktiraf, memperkasa dan mengakui tugas serta tanggungjawab pembangkang bagi membolehkan mereka memainkan peranan de­ngan lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Festival Daging Raya yang memberi manfaat kepada 6,000 golongan asnaf di negeri ini dengan pemberian daging secara percuma buat mereka.

Isu pelantikan speaker di ne­geri ini menjadi polemik setelah kerusi Pakatan Harapan yang membentuk kerajaan negeri terikat 18, Pas (15 kerusi) dan BN (tiga kerusi) selaku pembangkang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

Mengulas mengenai tawaran sertai pengiktirafan yang dimaksudkan, Mukhriz berkata, jawatan ketua pembangkang akan diiktiraf secara rasmi yang mana peranannya tidak hanya terhad ketika DUN bersidang malah turut memiliki pejabat dan kenderaan rasmi.

“Walaupun kami di pihak Pakatan Harapan tidak menerima cadangan kerajaan perpaduan disyorkan Pas, tetapi ada banyak cara lagi kerajaan boleh berurusan de­ngan pembangkang bagi mewujudkan 'semak dan imbang' demi pembangunan negeri.

“Antaranya perbincangan se­sama Exco bersetuju supaya peruntukan pembangunan negeri turut diberi kepada ADUN pembangkang. Perkara itu merupakan sesuatu yang telah lama kami perjuangkan sejak kami menjadi pembangkang dulu,” katanya.

Sementara itu, beliau mengakui, Pas sebelum ini ada mengemukakan cadangan supaya pelantikan speaker dibuat dari kalangan pemimpin parti itu di peringkat negeri dan individu berkenaan bukanlah terdiri daripada ADUN parti tersebut.

“Bagi saya walaupun ini bukan sesuatu yang pelik, tetapi agak luar biasa. Kalau itu berlaku, ini bermakna undi pembangkang meningkat menjadi 19 manakala undi kerajaan pula kurang kerana kekal 18.

“Namun secara peribadi saya merasakan isu ini bukanlah terlalu sukar untuk diselesaikan kerana hubungan antara kerajaan dan pembangkang di negeri ini sejak dari dulu tidaklah ‘berlaga’ sangat.

“Bagi saya ini merupakan antara perkara yang mengukuhkan demokrasi di negara kita yang mana saya diyakinkan perbincangan dijalankan sebelum ini, sememangnya dibuat dengan mereka mendapat mandat daripada parti masing-masing,” katanya.