Dalam tempoh 100 hari menjadi Menteri Besar, beliau membuktikan betapa usaha untuk menambah ilmu anak-anak muda yang sememangnya dekat di hatinya apabila mengumumkan kewujudan Tuisyen Barakah.

Buat permulaan, seramai 600 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terdiri daripada golongan kurang berkemampuan, diberi peluang menghadiri kelas tuisyen secara percuma.

Tahun demi tahun, jumlah itu bertambah. Jika tahun ini 1,200 pelajar diberi peluang mengikuti kelas tuisyen tersebut, untuk tahun depan, Ahmad Bashah sudah berjanji untuk memberi tempat kepada 2,000 pelajar melibatkan peruntukan sebanyak RM500,000 seperti yang dibentangkan dalam pembentangan Bajet Kedah 2018 untuk ne­geri ini, baru-baru ini.

Antara perkara lain yang menarik perhatian umum dalam bajet bertemakan ‘Menerus Kemajuan Menzahir Impian’ itu adalah keprihatinan kerajaan negeri terhadap anak-anak kecil sejak dari mula mereka menjejakkan kaki ke sekolah.

Menurutnya bermula tahun depan, seramai 30,000 pelajar tahun satu yang memasuki alam persekolahan di semua sekolah rendah di negeri ini, akan diberikan RM100 setiap seorang dalam bentuk simpanan di Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i).

Pemberian yang dinamakan Dana Warisan Pendidikan Anak Kedah itu jelasnya bagi menggalakkan para pelajar menabung dari kecil demi keperluan pendidikan di masa depan.

Keprihatian kerajaan negeri tidak hanya terhenti di situ. Tanpa berselindung, Ahmad Bashah ketika membentangkan bajet tersebut menyatakan hasrat kepemimpinan sedia ada untuk melahirkan generasi Ibadurrahman.

Justeru, sejumlah RM4 juta disalurkan bagi menaik taraf Maktab Mahmud dan Maahad Tahfiz Sains Kedah. Pemberian dana pengurusan bernilai RM2,000 sebulan kepada 11 buah pondok yang bernaung di bawah Yayasan Pondok 1Malaysia juga diteruskan.

Di samping itu geran berdasarkan bilangan pelajar di Sekolah Agama Rakyat dengan jumlah RM1.7juta dite­ruskan selain sejumlah dana tambahan disediakan bagi pembe­lian kitab kepada seluruh pondok dan Maahad Tahfiz yang beroperasi di negeri Kedah.

Mengulas perkara itu, Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah, Shamsul Bahar Abd. Rani berkata, perkara-perkara yang diumumkan Menteri Besar itu merupakan bukti betapa kerajaan ne­geri sedia ada sedang menyuburkan budaya ilmu dalam kalangan anak muda di negeri ini.

“Ini merupakan satu usaha yang perlu didukung oleh masyarakat dan kepemimpinan tempatan. Bagi saya, langkah yang diambil itu meletakkan negeri ini di landasan tepat bagi mencapai cita-cita berada di kedudukan tiga terbaik dalam pencapaian akademik di seluruh negara.

“Semua pihak harus bekerjasama bagi menjayakannya. Sebagai contoh, untuk Tuisyen Barakah, Jabatan Pendidikan negeri (JPN) dan GPMS saling membantu bagi menjayakannya dan pada masa depan, kami harap syarikat-syarikat swasta akan mula terlibat dalam usaha ini,” katanya.

Katanya, selaku pihak yang bertanggungjawab mengelolakan pusat tuisyen tersebut, pihaknya tidak mempunyai masalah untuk menerima pertambahan pelajar pada tahun depan.

“Kerjasama kami dan JPN sememang­nya baik dan saya fikir tak ada masalah untuk kami mengendalikan perkara itu. Lagipun di setiap pejabat pendidikan daerah (PPD), terdapat seorang guru yang dipertanggungjawabkan bagi memastikan kelancaran pusat tuisyen tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Mudir Madrasah al-Ulum Ad-diniah al-Usmaniah, Pondok Tanjung Kapur, Jitra, Sabri Osman berkata, warga kelas pengajian pondok di negeri ini sememangnya berterima kasih kepada kerajaan ne­geri terhadap perhatian yang diberikan.

“Sejak beberapa tahun kebelaka­ngan ini, kerajaan negeri mula membuka mata terhadap peranan dimainkan oleh pusat pengajian pondok di negeri ini. Itu satu perkara yang amat kami syu­kuri.

“Bantuan-bantuan yang diberikan sememangnya sangat membantu kerana kebanyakan yang berada di sekolah-sekolah pondok ini terdiri daripada golongan berpendapatan rendah,” katanya.

Beliau turut memuji tindakan kerajaan negeri memperuntukkan jumlah tertentu bagi seluruh pondok dan maahad tahfiz beroperasi di Kedah.

“Alhamdulillah, perkara sebegini memang dialu-alukan. Saya berharap bantuan diberikan ini mampu memberi lebih manfaat kepada orang awam supaya lebih bersungguh-sungguh untuk mendekati pembelajaran agama dan menghayati kitab-kitab muktabar,” katanya.

Sementara itu Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Azuyah Hassan berkata, apa yang dilakukan itu menjadi bukti keprihatian kerajaan negeri terhadap para pelajar.

“Bagi saya, para murid yang terpilih serta ibu bapa mereka perlu bersyukur dengan peluang diberi,” katanya.