AHMAD BASHAH MD. HANIPAH

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, semua persiapan telah dilakukan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Jabatan Bomba dan Penye­lamat Malaysia (JBPM) di peringkat daerah masing-masing.

“Jabatan Meteorologi juga diharapkan dapat menyebarkan mak­lumat secara menyeluruh ber­kaitan perubahan cuaca dan memaklumkan lebih awal supa­ya persediaan pemindahan se­ge­ra boleh dilakukan,” katanya kepada pemberita selepas meras­mikan majlis Muafakat Belia Kedah di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan bahawa negeri-negeri di utara Semenanjung dijangka menghadapi banjir gelombang kedua.

Dalam perkembangan berkai­tan, Ahmad Bashah memberitahu, pihaknya telah mengarahkan setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini memantau dan melihat sistem perparitan di kawasan masing-masing bagi memastikan aliran air hujan tidak tersekat.

“Taburan hujan yang turun luar biasa yang berlaku sejak kebelakangan ini membuatkan jumlah air tidak dapat ditampung,” katanya.

Dalam perkembangan lain, be­liau memberitahu, kerajaan ne­geri memperuntukkan dana se­banyak RM100,000 untuk me­laksanakan aktiviti pembangunan belia yang berupaya menyerlahkan bakat dan membawa perubahan positif kepada masyarakat.

Menurut Ahmad Bashah, pro­ses pengagihan peruntukan tahunan tersebut akan diuruskan oleh Jabatan Belia dan Sukan negeri.

“Peruntukan tersebut bukan hanya untuk golongan belia sahaja malah ia boleh digunakan untuk kebaikan pelbagai lapisan masyarakat termasuk warga emas,” katanya.