Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi serta Sumber Manusia negeri, Datuk Norsabrina Mohd. Noor berkata, julung kali Kedah mengadakan anugerah seumpama itu.

“Sebanyak lapan kategori dipertandingkan termasuk Anugerah Usahawan Kosmetologi Terbaik, Inovasi Produk Penjagaan Badan Terbaik, Inovasi Produk Penjagaan Solekan Terbaik, Inovasi Produk Penjagaan Wajah Terbaik, Inovasi Produk Makanan Kesihatan Terbaik, Pusat Kecantikan Terbaik/SPA, Inovasi Pembungkusan Produk Kecantikan Terbaik dan Ikon Kosmetik Kedah 2018.

“Setiap pemenang dalam ka­tegori ini masing-masing akan me­nerima hadiah wang RM1,000. Adalah diharapkan acara disusun ini mendapat sambutan baik dalam kalangan pengusaha kosmetik dan yuran penyertaan hanya RM10 sahaja,” katanya selepas perjumpaan dengan pengusaha kosmetik di kawasan utara anjuran Pertubuhan Usahawan Kosmetik Bumiputera Utara (Prumera) di KBiO Corp Sdn. Bhd, Kulim Hi-Tech Park Kulim, di sini baru-baru ini.

Norsabrina berkata, program tersebut mendapat kerjasama kerajaan negeri dan perasmian dilakukan isteri Menteri Besar, Datin Seri Hizam Awang Ahmad.

Sementara itu, Presiden Prumera, Noraida Yahya berkata, sebelum acara itu, satu Himpunan Usahawan Kosmetik Kedah (HUKK) akan berlangsung selama dua hari di Dataran Kulim Mall di sini bermula 15 April.

“Tujuan diadakan aktiviti begini bagi memberi pendedahan serta pengetahuan kepada masyarakat mengenai senario terkini, cabaran dan pencapaian terbaik industri kosmetik di Malaysia dan di peringkat antarabangsa.

“Di samping memberi peluang kepada ahli perniagaan kosmetik untuk mengetengahkan ciptaan teknologi terbaru mereka yang kreatif ke arah memartabatkan pengusaha industri kosmetik ta­nah air, ia juga mampu membantu peningkatan ekonomi negara,” katanya.

Sehubungan itu, mereka yang ingin menyertai program dan pertandingan itu boleh menghubungi, Norhisham Daud di talian 013 6301493 dan Suzana Mohd. Yusof, 013 5536007.