Difahamkan dalam kejadian banjir baru-baru ini, kira-kira 100 batang kayu balak dipercayai milik sebuah kilang memproses telah dihanyutkan sebelum tersangkut di tepi sungai di Sungai Petani, di sini.

Penduduk Kampung Lebai Man, Azeman Ahmad, 52, berkata, menggesa pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan untuk memantau perkara itu bagi memastikan kejadian sama tidak berulang kembali demi menjamin keselamatan penduduk berhampiran.

“Sepanjang empat kilometer ini (sungai di Sungai Petani) terdapat beberapa penempatan bermula dari Kampung Wat Siam hingga ke pekan baru. Kejadian banjir baru-baru ini telah menghanyutkan hampir 100 batang kayu balak.

“Kita bernasib baik pada kali ini kerana kayu balak tersebut tersangkut di tepi sungai, tapi saya mengharap tindakan segera pihak berwajib bagi memastikan tiada kejadian buruk yang menim­pa penduduk berhampiran pada masa depan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Sementara itu, penduduk dari Kampung Raja, Abdul Rahim Din, 69, berkata, kayu ba­lak yang dihanyutkan di sungai berkenaan dipercayai antara punca yang menyumbang kepada kejadian banjir kilat pada awal bulan ini.

“Kayu balak yang tersadai di tepi sungai tersebut juga mungkin menyebabkan air banjir memasuki rumah kami menjadi lebih lambat surut. Oleh itu, saya berharap pihak berkuasa dapat memantau kejadian ini,” kata­nya.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Datuk Abdul Rahim Saad berkata, pihaknya begitu terkejut apabila melihat banyak kayu balak masih tersadai di sepanjang sungai di Sungai Petani.

“Saya sedang berusaha untuk mengadakan satu perbincangan membabitkan pengusaha kilang kayu balak dan penduduk tempatan agar kes begini tidak ber­ulang lagi.

“Saya juga mahu mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa supaya melakukan sesuatu termasuk membesarkan kawasan sungai ini bagi memastikan airnya lebih mudah me­ngalir ke laut,” katanya.