Zarina Shuib, 53, berkata, dia mengetahui kejadian itu daripada seorang lagi adiknya yang tinggal di Pulau Pinang melalui panggilan telefon kira-kira pukul 1.30 petang ini.

“Masa tu saya keluar ke kedai, dapat panggilan daripada adik perempuan beritahu adik bongsu kami, Mohd. Tarmizi kena tembak di New Zealand.

“Saya tanya macam mana keadaan, dia kata baru nak hubungi adik ipar (isteri Mohd. Tarmizi) di sana tapi masih gagal dihubungi dan kami hanya memantau menerusi berita-berita yang dilaporkan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.

Dalam insiden itu, Mohd. Tarmizi, 42, dilaporkan cedera di bahagian belakang akibat ditembak pengganas ketika berada di salah sebuah masjid untuk menunaikan solat Jumaat.

Tambah Zarina, adiknya berhijrah ke sana lebih setahun lalu setelah anak sulung mereka mendapat peluang menyambung pengajian di New Zealand.

“Isterinya dahulu pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), namun berhenti setelah selesai menyambung pengajian peringkat doktor falsafah, juga di sana,” katanya.

Zarina yang juga kakitangan Universiti Utara Malaysia (UUM) itu berkata, adiknya memiliki empat orang anak dan sehingga kini masih belum menerima sebarang khabar berita mengenai salah seorang anak saudaranya.

“Anak dia yang hilang tak tahu macam mana, sama ada dah jumpa atau selamat kah? Kami hanya tunggu berita dan adik di Pulau Pinang pun ada berhubung dengan pihak berkaitan di New Zealand,” katanya.

Katanya lagi, kali terakhir mereka bertemu dengan anak bongsu daripada enam beradik itu adalah pada November tahun lalu ketika keluarga tersebut pulang bercuti ke kampung halaman. -UTUSAN ONLINE