NORHIZAN ISMAIL

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Norhizan Ismail berkata, hasil pemantauan pada ketiga-tiga klinik sentinel tersebut mendapati bilangan kes penyakit berkaitan jerebu pada 1 oktober 2015 (sebelum je­rebu) berjumlah 82 kes, ke­semuanya dengan jangkitan saluran atas pernafasan (URTI) merupakan penya­kit tertinggi iaitu 69 kes.

Namun, katanya, selepas je­rebu mula melanda pada tiga hari lalu, jumlah bilangan kes penyakit berkaitan jerebu di ketiga-tiga klinik sentinel menunjukkan peningkatan penyakit URTI iaitu sebanyak 145 kes daripada 167 kes atau 87 peratus.

“Negeri ini kembali dilanda je­rebu mulai 3 Oktober lalu dengan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencapai tahap tidak sihat iaitu 101 dan ke atas, untuk makluman, penyakit berkaitan jerebu dipantau melalui klinik sentinel iaitu klinik-klinik khusus yang dikenalpasti dan ianya berpandukan kawasan bacaan IPU oleh Jabatan Alam Sekitar.

“Klinik sentinel di negeri ini adalah Klinik Kesihatan Bakar Arang Kuala Muda bagi stesen bacaan IPU Bakar Arang, Klinik Kesihatan Jalan Putra bagi stesen bacaan IPU Alor Setar dan Klinik Kesihatan Kuah bagi stesen bacaan IPU Langkawi,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.

Sehubungan itu, Dr. Norhizan berkata, memandangkan keadaan jerebu masih belum pulih sepenuhnya, Jabatan Kesihatan negeri menasihatkan orang ramai mengurangkan aktiviti luar rumah, sentiasa cuba berada di dalam bangunan dan jika terpaksa berada diluar, gunakan penutup hidung serta mulut.

“Selain itu, sentiasa kurangkan sumber pencemaran dalaman seperti asap rokok, gunakan pen­dingin hawa dengan memilih operasi kitaran udara dalaman apabila memandu, banyakkan minum air kosong sekurang-kurangnya lapan gelas sehari dan basuh tangan dan muka dengan sabun dan air bersih selepas melakukan aktiviti luar.

“Sekiranya mampu, pasanglah alat pendingin hawa dan penapis udara, mereka yang mengalami gejala dan tanda seperti batuk, selsema, asma, sakit mata, jangkitan paru-paru hendaklah datang ke klinik dengan seberapa segera jika ke­adaan bertambah teruk,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, orang awam perlu sentiasa peka dengan keadaan semasa dan maklumat terkini daripada media massa dan laman sesawang mengenai bacaan IPU.