Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, ini kerana janji manis yang ditabur itu belum pasti menjamin keadaan lebih baik seperti mana yang dirasai rakyat semasa di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Jangan sesekali membuat keputusan salah termasuk terpengaruh dengan pihak terbabit dengan mudah kerana itu akan menggelapkan masa depan sendiri.

“Percayalah sebagai sebuah kerajaan adil, BN tidak pernah sama sekali mengabaikan kebajikan dan keselesaan rakyat ke arah mencorak kehidupan lebih baik sepanjang masa,” katanya dalam sidang akhbar selepas Perasmian Penutup Konvensyen Peladang Muda, Peladang Nita, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di Merbok sempena Program Jelajah Muafakat Kedah 2018 hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan (ADUN) Tanjung Dawai, Datuk Tajul Urus Md. Zain; Pengerusi Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kedah, Datuk Abdul Lateh Md. Saman dan Pengerusi PPK Merbok yang juga Pengerusi Peladang Nita Kebangsaan, Datuk Rokiah Hashim.

Ahmad Bashah berkata, walaupun pihak terbabit membawa pelbagai janji manis, rakyat harus menilai dengan mata hati dan bukan dengan perasaan bagi mengelak tertipu.

“Kita sebagai pemimpin meletakkan asas yang kuat dalam membina negeri untuk dinikmati dengan rakyat secara saksama sepanjang masa.

“Sehubungan itu marilah kita bersatu mengekal kuasa yang ada dan tidak diperbodohkan oleh orang luar bagi mengelak diri dan negeri ini berada dalam kerugian kerana memberi kuasa kepada pihak yang salah,” katanya.

Pada majlis itu, Ahmad Bashah turut menyerahkan cek zakat perniagaan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) kepada empat PPK iaitu Merbok, Sungai Petani, Gurun dan Kuala Muda Selatan.

Pelbagai aktiviti merangkumi pemeriksaan kesihatan, pame­ran, jualan barangan melibatkan keluaran Peladang Muda dan Peladang Nita diadakan.