Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Suraya Yaacob berkata, pemulihan itu antaranya adalah dengan cara membuat cantuman tunas kepada pokok durian sedia ada dengan jenis durian musang king dan duri hitam.

“Kedua-dua jenis durian jenis ini bukan sahaja enak dimakan tetapi mempunyai harga dan nilai yang tinggi di pasaran.

“Dengan itu, proses pemulihan durian itu dilakukan di beberapa kawasan termasuk di Baling, Sik, Padang Terap, Kulim dan Bandar Baharu,” katanya selepas melawat kilang pemprosesan durian syarikat Nictron Industries Sdn. Bhd. di Kuala Ketil, di sini kelmarin.

Menurutnya, usaha jabatan itu amat baik memandangkan negeri ini merupakan salah satu kawasan pengeluaran durian yang terbanyak di negara ini.

Beliau juga turut memuji usaha kilang milik syarikat Nictron Industries Sdn. Bhd. yang memproses durian untuk dijadikan pelbagai produk makanan berasaskan durian bagi eksport ke China dan beberapa negara lain.

Katanya, selain memproses durian untuk dijadikan pes durian, ais krim, kuih muih dan sebagainya, mereka juga mengeksport durian tanpa proses yang disejukbekukan ke luar negara.