Pengerusi Jawatankuasa Majlis Walimatulurus Perdana Kedah, Datuk Suraya Yaacob berkata, program kali kedua diadakan itu bukan sahaja dapat meringankan beban golongan muda malah memberi harapan kepada mereka memulakan kehidupan berke­luarga yang membahagiakan.

“Pelaksanaan program Ba­rakah Anak Muda ini juga adalah kerana kerajaan negeri prihatin atas permasalahan anak-anak mu­da dalam soal perkahwinan.

“Jadi hasrat utama kerajaan negeri adalah untuk memudahkan anak muda membina institusi perkahwinan,” ucapnya dalam Majlis Resepsi Walimatulurus Perdana Peringkat Negeri Kedah 2017 di sini baru-baru ini.

Suraya memberitahu, penganjuran program itu juga adalah untuk mengurangkan isu perkahwinan di luar sempadan negara yang tidak mengikut undang-undang negara dan akhirnya akan menimbulkan masalah kepada institusi kekeluargaan di kemudian hari.

Tambahnya, kerajaan nege­ri berjaya menjayakan majlis ter­sebut dengan melaksanakan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) membabitkan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluar­ga Negara (LPPKN), Ja­batan Pembangunan Wanita, Jabatan Perpaduan Negara, Ja­batan Pendaftaran Negara, Institut Wasatiyyah Malaysia dan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK).