Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Impian Raja Sehari tercapai

16 pasangan pengantin golongan asnaf dirai serba indah

16 pasangan mengaminkan bacaan doa dalam majlis Perkahwinan Perdana 7
16 pasangan mengaminkan bacaan doa dalam majlis Perkahwinan Perdana Peringkat Parlimen Baling anjuran Kumpulan Usahanita Fathonah dan Pusat Khidmat UMNO Baling di Kompleks Rakan Muda Batu 42, Pulai, Baling, Kedah, baru-baru ini.

BALING 19 April - Duduk bersanding di atas pelamin indah dengan memakai busana cantik untuk bergelar Raja Sehari adalah idaman setiap pasangan pengantin baharu.

Hasrat tersebut bagaimanapun barangkali hanya jadi mimpi bagi pasangan yang menghadapi kekangan kewangan kerana untuk merancang majlis resepsi besar-besaran pasti memerlukan per­belanjaan yang banyak.

Itu juga cabaran 16 pasangan pengantin golongan asnaf yang tidak mungkin mampu diraikan dalam majlis serba indah sekira­nya mereka tidak menyertai majlis Perkahwinan Perdana Pe­ringkat Parlimen Baling anjuran Kumpulan Usahanita Fathonah dan Pusat Khidmat UMNO Baling baru-baru ini.

Majlis yang diadakan di Kompleks Rakan Muda Batu 42, Pulai dekat sini meriah apabila ke­semua pasangan berkenaan disan­dingkan serentak ditambah pula dengan kehadiran 10,000 jemputan.

Pasangan pengantin orang ku­­rang upaya (OKU), Pauziyah Khalid, 37, dan suaminya, Izam Azizan, 42, dari Kampung Banggol Asam Jawa dekat sini berkata, mereka amat terharu apabila diraikan bersama pengantin lain dalam acara gemilang itu.

“Saya terkejut apabila disan­dingkan dengan suami dalam acara yang hebat ini sambil disaksikan oleh 10,000 masyarakat Baling.

“Saya jadikan kenangan ini sebagai kenangan terindah dan abadi dalam ingatan saya serta suami,” kata Pauziyah yang me­ngalami kecacatan dari paras paha sejak dilahirkan.

Suaminya pula mengalami ke­cacatan di kaki akibat kemala­ngan van kilang pada 2002.

Izam pula berkata, dia melahirkan rasa syukur dan gembira apabila berpeluang diraikan dalam majlis yang penuh bermakna itu sambil disaksikan ahli keluarga, jiran dan sahabat handai.

“Saya memang tidak me­nyangka berpeluang bersanding beramai-ramai seperti ini dan saya menghargai usaha yang dilakukan oleh penganjur program.

“Ini merupakan perkahwinan kedua saya selepas kematian isteri pertama dan perkahwinan pertama bagi isteri saya. Kenangan diraikan penuh meriah ini tidak dilupakan sampai bila-bila,” katanya.

Izam berkata, program itu banyak membantu meringankan beban perbelanjaan untuk kenduri, memandangkan dia hanya memperoleh pendapatan mene­rusi upah membaiki barangan elektrik manakala isterinya pula mengambil upah menjahit.

Selain pasangan OKU terbabit, majlis turut meraikan sembilan pasangan pengantin Orang Asli dan enam pasangan pengantin dari keluarga asnaf dan miskin termasuk dua beradik Orang Asli, Kamaliah Kulim, 20, dan abang­nya, Zulkifli, 34, bersama pasa­ngan masing-masing, Nasir Di, 21, dan Selmah Panjang, 33.

Kamaliah berkata, tidak semua Orang Asli di Kampung Lubuk Legung berpeluang merasai pe­ngalaman diraikan sebagai mempelai secara beramai-ramai.

“Saya gembira dan berbangga melihat orang ramai datang meraikan majlis perkahwinan saya dan juga abang saya serta rakan-rakan yang lain,” katanya.

Inilah pengalaman buat julung kalinya masyarakat Orang Asli diraikan dalam satu majlis yang besar sambil disaksikan oleh pe­mimpin setempat dan media massa menyiarkannya ke seluruh negara.

Sementara itu, Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang turut meme­riahkan majlis tersebut berkata, majlis Perkahwinan Perdana Peringkat Parlimen Baling itu menjadi sejarah tersendiri dan ia amat unik di daerah itu.

“Inilah kali pertama program sebegini diadakan dan saya kagum melihat kesungguhan Kumpulan Usahanita Fathonah menjayakan program ini bersama Kolej Komuniti Baling dan agensi kerajaan lain.

“Pastinya program ini menjadi kenangan abadi buat pengantin yang diraikan dan mungkin inilah kali pertama dan terakhir mereka disambut sedemikian rupa,” katanya.

Beliau berkata, program tersebut adalah semata-mata untuk membantu golongan kurang berkemampuan untuk mengadakan kenduri secara besar-besarkan.

Yang turut hadir memeriahkan majlis, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang, Datuk Harun Abdul Aziz dan Penyelaras DUN Kuala Ketil, Datuk Khairul Azhar Abdullah bersama isteri masing-masing.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain