Ketika usianya mencecah 86 tahun, ingatannya masih kuat dan jika ditanya perkara berkaitan sejarah negeri ini, beliau tidak mengambil masa lama untuk bercerita mengenai kisah lampau serta lengkap dengan tarikhnya sekali.

Disebabkan kelebihan itulah beliau sentiasa menjadi rujukan semua pihak yang memerlukan.

Sama ada pelajar sekolah, mahasiswa, pensyarah mahupun kerajaan negeri atau pihak istana, semuanya menjadikan beliau sebagai pakar rujuk sebelum mengambil sebarang keputusan berkaitan pemeliharaan serta pemuliharaan sejarah negeri.

Di sebalik segala bentuk kecintaannya terhadap sejarah dan bumi jelapang padi, tidak ramai yang tahu akan hakikat beliau sebenarnya dilahirkan di Perak.

“Sebenarnya saya dilahirkan di rumah ibu di Jalan Tupai, Taiping pada 18 September 1932. Namun, apabila ibu meninggal dunia ketika saya baru bersekolah di darjah tiga, saya dibawa untuk tinggal bersama bapa saudara di Sik, Kedah.

“Di situlah bermulanya kehidupan saya di Kedah dan kemudiannya bersekolah di Sekolah Melayu Sik. Sasterawan Negara, Allahyarham Profesor Emeritus Datuk Dr. Shahnon Ahmad merupakan rakan sekelas saya dan kami sama-sama belajar bahasa Jepun ketika mereka memerintah negara ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Beliau yang merupakan bekas guru dengan jawatan terakhirnya sebagai pengetua di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Puteh Dalam berkata, minatnya terhadap subjek sejarah dan kesusasteraan sememangnya telah wujud sejak kecil lagi.

“Apabila saya melanjutkan pelajaran ke Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) yang kini dikenali sebagai Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), pensyarah saya ketika itu, Shahrum Hussin sering memberi galakkan sehingga berpesan supaya saya menyertai mana-mana persatuan sejarah selepas menamatkan pelajaran,” katanya.

Kata Wan Shamsudin, beliau kemudiannya berpegang kepada ‘amanat’ pensyarahnya itu sehingga diberikan kepercayaan untuk menjadi ahli jawatankuasa Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK) yang ditubuhkan pada 1956.

“Ketika itu Tunku Nong Jewa dilantik sebagai Presiden PSMCK. Hanya dalam tempoh beberapa tahun selepas itu, maka wujudlah muzium pertama di negeri ini di Balai Besar yang terletak berhadapan Masjid Zahir,” katanya.

Ditanya mengenai perhubu­ngannya dengan pihak istana yang dianggap istimewa oleh beberapa pihak, bekas guru kepada beberapa individu ternama antaranya Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Chor Chee Heung itu tetap merendah diri.

“Sultan Kedah ini sejak dari zaman Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sehinggalah ke era Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah ini sememang­nya berjiwa rakyat. Sebagai contoh, Tuanku Abdul Halim seperti yang saya ketahui sememangnya mempunyai ramai rakan terma­suklah pemandu teksi.

“Begitu juga dengan adinda­nya, Sultan Sallehuddin yang kini berada di tampuk pemerintahan negeri. Baginda juga seorang yang minat kepada sejarah dan sudah beberapa kali berkenan untuk berangkat ke lokasi bersejarah yang berkaitan dengan negeri ini,” katanya.

Beliau juga dalam pada itu sempat menitipkan pesan kepada anak-anak muda mengenai kepentingan mempelajari sejarah.

“Ibarat memandu kenderaan, kamu tidak boleh hanya melihat cermin depan semata-mata tanpa menjeling ke cermin belakang bagi memastikan kenderaan dipandu selamat sampai ke destinasi.

“Begitu juga dengan kehidupan. Dalam membuat sebarang keputusan untuk menentukan masa depan, kita harus sentiasa menoleh ke belakang agar ma­sing-masing boleh mengambil pengajaran dan sentiasa berhati-hati sebelum bertindak,” katanya.