Titah baginda, amalan itu penting untuk sama-sama membina peradaban yang lebih baik demi kesejahteraan ummah sejagat.

"Al-Quran ini penuh dengan keindahan dan kehebatan jadi diharapkan masyarakat Islam dapat menghayati intipati yang tersirat di dalam Kitab suci al-Quran supaya ia menjadi penawar hati dan tidak mudah goyah pegangan hidup," titah baginda.

Baginda bertitah demikian dalam majlis penutupan dan penyampaian hadiah Tilawah dan Menghafaz al-Quran peringkat negeri di sini hari ini.

Keberangkatan baginda diiringi Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff dan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan, Warisan dan Kerja Raya, Datuk Mohd. Rawi Abdul Hamid, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Bakar Din dan Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadhil Awang.

Pada majlis tersebut, Sultan Sallehuddin berkenan menyampaikan hadiah kepada johan qari dan qariah tilawah al-Quran yang masing-masing disandang oleh Muhammad Thufail Sayuti dan Nor Afifah Abdul Rahman.

Pertandingan Menghafaz al-Quran bagi kategori juzuk 1-30 dan Tafsir pula masing-masing dimenangi oleh Muhammad Khalil Mohd. Fadzil dari Maahad Tahfiz Al-Farabi, Sik dan Siti Aisyah Humaira’ Syahrul Apandi dari Madrasah Darul Islah Lil Banat Guar Cempedak.

Bagi kategori juzuk 1-20 pula, pemenangnya ialah Mohd. Rayyan Abdullah (Kolej Universiti Islam Selangor) dan Siti Aisyah Zolkifli (Pusat Tahfiz dan Pengajian Islam Saiyadatina Aisyah, Sungai).

Dalam kategori juzuk 1-10 dan Tarannum menjadi milik Muhammad Haziq Aidee Rosilan (Maahad Tahfiz Lorong Alif) dan Robiatun Adawiyah Zolkifli (Pusat Tahfiz dan Pengajian Islam Saiyadatina Aisyah, Sungai Petani). - UTUSAN ONLINE