Itulah tradisi menghambat atau ‘mengerau’ ikan yang wujud sejak sekian lama pada zaman nenek-moyang terutamanya mereka yang tinggal berhampiran sungai, namun kini ia semakin dilupakan.

Ia mungkin asing bagi sesetengah individu terutamanya golongan muda yang tinggal di bandar tetapi aktiviti menghambat ikan masih dilakukan oleh mereka yang sinonim dengan kehidupan dan aktiviti sungai.

Paras air sungai yang cetek akibat kemarau menjadikan aktiviti ini sering dilakukan oleh penduduk setempat tetapi hanya dalam kumpulan yang kecil.

Penduduk sekitar Sungai Muda di sini bagaimanapun terus mengimbau nostalgia dengan menghidupkan tradisi tersebut setiap tahun dan mendapat sam­butan dalam kalangan penduduk.

Penyelaras Program Perkelahan dan Pelepasan Anak Ikan, Mohd. Sopian Yaacob berkata, acara menghambat ikan dengan menggunakan laplay iaitu sejenis tali putih diikat pada tali kerbau yang panjang dan diletakkan di sekeliling pukat di dasar sungai, bukan lagi asing bagi penduduk di Kampung Pokok Jerai dan kampung sekitarnya.

“Seingat saya, sejak kecil lagi kami sering ikut bapa ke sungai untuk menghambat ikan dan ia adalah aktiviti tradisi di sini dan sebagai sumber rezeki apabila ikan yang diperoleh dijadikan lauk untuk dimakan sekeluarga ataupun dijual.

“Aktiviti ini kian dilupakan, malah ada tidak pernah merasai pengalaman ini, jadi kami bermuafakat mengadakannya semula agar ia tidak terus dilupakan oleh generasi muda,” katanya ketika ditemui di pinggir Sungai Muda di Kampung Jerai, Jeneri, di sini baru-baru ini.

Menurutnya, yang paling unik aktiviti itu disertai pelbagai keturunan dan bangsa seperti Melayu, Siam, Cina, India dan pelbagai lapisan masyarakat.

Masyarakat Siam yang tinggal di Kampung Kura yang hanya dipisahkan oleh Sungai Muda ini de­ngan Kampung Jerai turut mengambil bahagian bergotong-royong menghambat ikan.

Selain masyarakat di dua kampung tersebut, masyarakat Kampung Betong Dalam dan Kampung Kenangan turut menyertainya sehinggakan lebih 1,000 penduduk berkampung dan mengambil bahagian masing-masing.

Aktiviti itu turut disertakan dengan acara berkelah beramai-ramai di tepi sungai dan mereka masak pelbagai menu tradisi se­perti masak nasi dalam daun lirik dan buluh, bakar ikan sungai hasil tangkapan menghambat, ikan masak singgang dalam buluh, kari pisang muda, asam pedas keladi, sambal belacan, air asam dan pelbagai ulaman yang dikutip di tepi sungai tersebut.

Salah seorang peserta, Tiang Ah Tong, 67, berkata, aktiviti itu menghiburkan dan berbaloi dengan menghambat ikan dengan mengacau atau ‘mengerau’ lubuk-lubuk ikan yang dikenal pasti.

“Persiapan dilakukan sejak beberapa hari lalu setelah itu kami menyediakan pukat, jala, besi pancang dan laplay.

“Pukat sepanjang 40 meter perlu dipasang di bahagian muara sungai yang cetek dan tebing berpasir manakala pada hujung pukat dinamakan ‘bunuhan’ iaitu tempat terakhir ikan tersangkut pada pukat selepas dihambat di bahagian hulu atau hilir sungai,” katanya.

Katanya, mengikut tradisi, aktiviti menghambat ikan sebelum ini menggunakan peralatan seperti buluh yang dibelah, tangguk dan jala, namun kini digantikan de­ngan pukat yang lebih mudah untuk dipasang.

Apabila tiba masanya, sejauh hampir dua kilometer jauhnya, lebih 50 orang akan memainkan peranannya dan kumpulan itu akan pecahkan kepada dua iaitu sebagai tukang hambat dan tukang kepung.

Sejak pukul 8 pagi lagi, tukang hambat akan berada di sebelah hilir dengan jarak tertentu dan berjalan beramai-ramai melawan arus sungai menuju ke kawasan kepungan sambil membuat bising dengan memukul permukaan air.

Tindakan dilakukan dengan pantas supaya ikan yang sudah memasuki kawasan kepungan pukat tidak terlepas dan jala-jala lain akan terus ditebarkan ke arah kumpulan ikan yang terperangkap sebelum memungutnya.

Antara jenis-jenis ikan yang sering diperoleh ialah sebarau, lampam, baung, kaloi dan kelah manakala jumlah ikan pula boleh mencecah 100 kilogram sekiranya rezeki memihak kepada mereka.

Ikan yang diperoleh disiang oleh kaum wanita dan dimasak di tebing sungai secara gotong-royong dan suasana seperti itu mengeratkan persaudaraan dan silaturahim antara penduduk kampung.