Shariff Anuar
Shariff Anuar

Pelbagai aktiviti rekreasi dapat diadakan terma­suklah aktiviti memancing di Sungai Sentap, mendaki Gua Kerbau, sukan lasak abseiling dan flying fox, berkayak dan perkhemahan.

Setiausaha Pemuda UMNO Cawangan Kodiang Lama, Sha­riff Anuar Shariff Abas berkata, elemen sejarah yang diterapkan sebelum ini kurang menarik minat pengunjung ke situ.

Katanya, kebanyakan pengunjung yang melawat Gua Kerbau lebih cenderung melakukan aktiviti riadah berbanding menghayati nilai tinggalan sejarah yang terdapat di gua batu kapur itu.

“Ketika pelaksanaan Tahun Melawat Kedah 2016 yang lalu, memang banyak usaha dijalankan oleh Kerajaan Negeri Kedah untuk mempromosikan gua itu sebagai produk pelancongan geologi, namun ia kurang menarik pelancong.

“Lokasinya yang terletak berhampiran sungai dan kawasan bukit serta berlatar belakangkan sawah padi, lebih menarik minat pengunjung untuk beriadah khususnya aktiviti memancing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan majlis penyampaian hadiah Pertandingan Memancing Gua Kerbau 2017 yang disertai 200 pemancing dari seluruh negeri, di sini baru-baru ini.

Pertandingan itu dianjurkan oleh Pemuda UMNO Cawangan Kodiang Lama dengan kerjasama Pemuda UMNO Bahagian Jerlun dan Pejabat Parlimen Jerlun dengan menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM1,500.

Shariff Anuar berkata, aktiviti itu adalah langkah permulaan bagi mempromosikan Gua Kerbau sebagai lokasi riadah di samping memupuk semangat mencintai khazanah alam kepada golongan muda di situ.