Timbalan Pengerusi 1 Kindness Malaysia, Mohd. Azrul Mohd. Razak berkata, penubuhan NGO ini bagi mendidik masyarakat supaya melakukan apa sahaja kebaikan demi membantu golongan memerlukan.

“Ramai yang berpendapat untuk membuat kebajikan atau kerja-kerja amal, perlu mempunyai wang yang banyak. Sedangkan mereka boleh membuat kebaikan kepada golongan memerlukan dengan pelbagai cara.

“Sebab itu, tumpuan kita di Kindness Malaysia adalah untuk mendidik masyarakat melakukan kebaikan. Malah kita menggalakkan sukarelawan Kindness Malaysia mencipta program-program yang ‘zero cost’ mahupun berkos rendah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Mohd. Azrul, projek gelandangan, selipar, tempat letak kereta, petrol dan baju hujan antara projek kos rendah yang dilaksanakan Kindness Malaysia bagi mendidik masyarakat walaupun kecil bantuan yang dihulurkan, sangat bermanfaat kepada mereka yang memerlukan.

“Projek gelandangan ini lama kita lakukan iaitu memberi makanan dan minuman kepada golongan tersebut. Jika tidak mendapat tajaan, kebiasaannya kami memberikan mereka roti dan air untuk mereka mengalas perut.

“Selain itu, projek selipar juga tidak memerlukan kos yang tinggi. Selalunya kita menggalakkan sukarelawan Kindness Malaysia membawa selipar lebih apabila ke surau atau masjid.

“Ini kerana situasi kehilangan selipar biasa berlaku di surau dan masjid, mereka yang terlibat boleh mendapatkan selipar ganti secara percuma. Jadi, mereka yang kehilangan selipar tidak berasa bimbang terbawa pulang selipar jemaah lain,” ujarnya.

Katanya, pihaknya juga me­ninggalkan baju hujan berserta nota pemberian percuma di ste­sen-stesen bas buat golongan yang memerlukan terutama penunggang motosikal pada musim hujan ini.

“Projek-projek yang dijalankan ini tidak semestinya dilakukan dalam jumlah yang besar sebaliknya boleh dilakukan sendirian. Apa yang penting, kita mahu mendidik masyarakat melakukan kebaikan walau sekecil mana yang semestinya dapat memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan,” katanya.