NORHIZAN ISMAIL

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Norhizan Ismail (gambar) berkata, dalam tempoh itu juga tiada kes kematian akibat komplikasi denggi dilaporkan.

Katanya, lapan daerah menunjukkan peningkatan tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu Kubang Pasu meningkat 77 peratus iaitu 23 kes berbanding 13 kes, Kota Setar meningkat 221 peratus iaitu 45 kes berbanding 14 kes.

"Daerah Padang Terap meningkat 67 peratus iaitu 10 kes berbanding enam kes, Baling meningkat 70 peratus iaitu 17 kes berbanding 10 kes, Kulim meningkat 152 peratus iaitu 53 kes berbanding 21 kes.

"Bandar Baharu meningkat 400 peratus iaitu empat kes berbanding tiada kes, Yan meningkat 1,300 peratus iaitu 13 kes berbanding tiada kes dan akhir sekali di Sik meningkat 400 peratus iaitu lima kes berbanding satu kes," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Norhizan memberitahu, dua lokaliti wabak baharu dilaporkan iaitu di Air Hitam di daerah Kubang Pasu dan Taman Kota Nelayan di daerah Kota Setar.

"Sehingga 7 Mac lalu, kumulatif lokaliti wabak adalah tujuh lokaliti berbanding dua lokaliti seluruh negeri Kedah bagi tempoh yang sama tahun 2014 iaitu peningkatan 250 peratus," ujarnya.

Ujar beliau, bagi tempoh sama, jabatan telah melaksanakan tindakan pencegahan dan kawalan demam denggi dengan melakukan pemeriksaan pembiakan aedes ke atas 57,724 premis dan didapati sebanyak 1,194 premis mempunyai pembiakan jentik-jentik.

"Kita juga telah mengeluarkan sebanyak 461 kompaun dengan nilai RM213,500 di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 dan sebanyak 56 Notis Seksyen 8 telah dikeluarkan bagi arahan kerja pembersihan dan pemusnahan tempat berpotensi menjadi tempat pembiakan aedes," katanya.

Tambahnya, sebanyak 77,173 premis telah dibuat semburan untuk membunuh nyamuk dan sebanyak 38,435 premis telah dibubuh abate bagi memusnahkan jentik-jentik aedes.