Apabila soalan itu diajukan kepada penduduk di kawasan ini, rata-rata mereka mengakui Sik pada waktu itu hanyalah sebuah pekan koboi yang dikelilingi hutan.

Ketika itu, Sik dikenali sebagai kubu kuat pembangkang menyebabkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) gagal menembusi­nya selama berbelas-belas tahun biarpun Kedah sentiasa dinaungi kerajaan BN.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) pada 2008, keadaan berubah.

UMNO berjaya menang satu daripada tiga kerusi di Parlimen tersebut, namun tampuk peme­rintahan kerajaan negeri terpaksa diserahkan kepada pembangkang yang memenangi lebih banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah.

Ahli Dewan Undangan Ne­geri (ADUN) Belantek yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penera­ngan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan negeri, Datuk Mohd. Tajudin Abdullah mengakui, beliau sukar menerima hakikat akan perkara itu sehingga menitiskan air mata pada malam keputusan pengundian diumumkan.

“Saya terfikir bagaimana mahu membangunkan daerah ini dalam keadaan saya ‘keseorangan’ di sini sementara kuasa kerajaan negeri pula berada di tangan pihak lain.

“Tetapi akhirnya saya sedar bahawa tiada perkara mustahil. Untungnya agensi serta Kerajaan Pusat tidak langsung menganaktirikan kawasan ini sebaliknya sentiasa berusaha memenuhi permintaan penduduk yang saya usulkan,” katanya.

Sejak itu pembangunan di Belantek dan Sik bermula sedikit demi sedikit.

Hubungan baik Ketua Bahagian UMNO Sik itu dengan Kerajaan Persekutuan membolehkan beberapa projek berfaedah untuk rakyat dilaksanakan antaranya jambatan di Kampung Ceruk Tenang serta penyelesaian masalah bekalan air di Kampung Keda Sungai Senang.

Paling mengujakan, pada 2012, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Jalan Pintas yang menghubungkan jalan Kampung Merbau Kudung, Felda Teloi Timur ke Batu 5.

Apabila projek itu siap, penduduk ternyata menerima manfaat besar apabila perjalanan yang dulunya mengambil masa 45 minit, kini berkurangan kepada hanya lima minit.

Melihat satu demi satu kemajuan dan pembaharuan dibawa, penduduk Sik ternyata mengambil langkah lebih bijak.

Dalam PRU-13, BN membuat kejutan apabila memenangi Parlimen Sik dan tiga DUN sekali gus membuka jalan lebih luas terhadap pembangunan di situ.

Kini setelah lima tahun berlalu dengan BN kembali mentadbir Kedah, segala-galanya sudah tersedia di Sik.

Di merata-rata pekan dan kampung, suasana malam tidak lagi suram kerana diterangi lampu-lampu jalan, sementara aktiviti pada waktu siang pula kian sibuk sehingga pekan itu yang dulu dianggap ‘tersorok’ kini mula mengalami kesesakan jalan raya.

Apa yang lebih membanggakan, daerah itu kini sudah mempunyai beberapa mercu tanda yang bukan dibina secara ala kadar malah lengkap daripada segala aspek termasuk keindahan pembuatannya bagi faedah masyarakat sekeliling.

Antaranya adalah pembinaan semula Masjid al-Muhtadin di Sik Dalam yang dibina pada 1976 dan hanya mampu memuatkan 900 jemaah, kini diperbaharui melibatkan kos sebanyak RM2.4 juta, sekali gus menambah kapasiti jemaah kepada 1,500 orang pada satu-satu masa.

Untuk golongan muda dan mereka yang mementingkan kesihatan, sebuah Kompleks Sukan Perdana dibina dan dirasmikan Perdana Menteri pada Ogos 2017.

Segala-galanya ada di kompleks tersebut antaranya stadium mini, padang bola sepak berkapasiti 1,500 penonton, gimnasium serta enam gelanggang getah untuk sukan badminton, bola jaring dan sepak takraw.

Selain itu, sebuah arena futsal turut dibina melibatkan satu gelanggang getah memenuhi standard Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) serta tiga gelanggang kecil dengan kapasiti 500 penonton.

Lebih daripada itu, sebuah dewan diberikan nama Dewan al-Hana yang cukup selesa untuk menampung 3,000 orang siap dibina untuk kegunaan komuniti setempat.

Apa yang dinyatakan di atas, cuma sebahagian yang dilaksanakan BN di Sik.

Hakikatnya terlalu banyak pembaharuan dilaksanakan di kawasan itu termasuklah pembinaan dan pembaikan rumah di kawasan itu yang mencecah sehingga jutaan ringgit demi keselesaan penduduk setempat.