Asri Yusoff

Ketua Polis negeri, Datuk Asri Yusoff (gambar) berkata, ham­pir 100 pelajar dari 15 sekolah di Kota Setar, Kubang Pasu, Kuala Muda dan Padang Terap disyaki terlibat secara serius dalam kegiatan tersebut.

“Kita tidak boleh membiarkan pelajar bermasalah ini terus berada di dalam sekolah kerana mereka ini seperti virus yang boleh menyebabkan lebih ramai pelajar terjebak.

“Masalah dadah di sekolah tidak akan berkesudahan jika penjual dan penagih dadah ini terus dibiarkan kerana seorang daripada mereka akan merekrut empat pelajar lain untuk terlibat sama,” katanya selepas menghadiri program Derma Darah Sempena Peringatan Hari Polis ke-210 di Hospital Sultanah Bahiyah, di sini hari ini.

Kata Asri, kebanyakan pelajar sekolah di negeri ini yang terjebak dengan kegiatan tidak sihat itu kebiasaannya terlibat dengan dadah jenis methamphetamine selain air ketum.

“Masalah ketagihan air ketum ini berlaku apabila ibu bapa kepada pelajar juga minum ketum kononnya baik untuk kesihatan selain ada yang menanam sendiri pokok ketum.

“Untuk mengekang gejala tidah sihat ini, pihak polis akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk melakukan operasi pembersihan itu.

“Kita sedang menunggu maklum balas lanjut pihak sekolah dan kementerian sebelum boleh melakukan operasi pembersihan ini iaitu dengan menahan pelajar terlibat,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, kata beliau, pihaknya akan mengedarkan sebanyak 1,000 cakera padat video (VCD) dokumentari berkaitan risiko pengambilan dadah pada peringkat awal kepada orang ramai termasuk pihak sekolah.