Sering beranggapan dirinya istimewa, Mohd. Sofian Mohd. Yazid, 32, tidak pernah kecewa dengan kekurangan dimiliki malah begitu teruja tiap kali mencabar diri melakukan sebarang aktiviti yang tidak berani dilakukan insan normal.

Insan tabah dan cekal ini sentiasa berpandangan jauh ke hadapan tiap kali merenung masa depan memandangkan dirinya tidak ‘sempurna’ selepas menghidapi polio sejak berumur tiga tahun kerana keinginan mencapai kejayaan seperti orang lain membuak-buak dalam dirinya.

Siapa sangka, Mohd. Sofian kini berjaya memiliki sebuah bengkel dan alat ganti terpakai kenderaan dikenali sebagai HanTurbo yang mempunyai tiga kakitangan termasuk mekanik di pekan Tanah Merah, Pendang di sini.

“Setiap manusia ada kisah hidupnya tersendiri. Masing-masing ada kesusahan dan kesenangan yang orang lain tidak faham melainkan mereka merasainya sendiri,” katanya yang berasal dari Kampung Asam Jawa, Pendang.

Sentiasa optimis, baginya kesenangan tidak datang bergolek jadi dia perlu bekerja lebih keras daripada orang lain memandang­kan tiada siapa akan membantunya.

“Saya tidak suka bergantung kepada orang lain kerana sukar orang lain benar-benar memahami keputusan yang dibuat,” katanya.

Menurutnya, dia tidak pernah terkesan dengan kekurangan pada dirinya, sebaliknya kelemahan tersebut dijadikan sebagai pendorong dan penguat sema­ngat untuknya berusaha dengan lebih gigih.

“Kehidupan ini merupakan satu nikmat hidup yang perlu kita syukuri. Saya juga bersyukur kerana mempunyai keluarga sa­ngat menyayangi saya,” katanya.

Berbekalkan sedikit wang yang diperoleh melalui perniagaan kecil menjadi broker tanah dan sewa beli kereta, Mohd. Sofian nekad memulakan perniagaan berasaskan permotoran yang sudah sebati dengan dirinya.

“Saya mahu berdikari tanpa perlu bergantung dengan orang lain. Saya juga mahu membantu memberi kehidupan lebih baik kepada kedua ibu bapa saya. Sebab itulah saya memulakan perniagaan ini,” katanya.

Ketika dia baru mengusahakan perniagaan tersebut, ramai memandang sinis kemampuan Mohd. Sofian untuk menguruskan bengkel itu kerana kekurang­an fizikalnya, namun rakan-rakan rapatnya banyak memberi sokongan dan dorongan kepadanya.

“Ramai yang tidak yakin kerana kecacatan saya tetapi anggap ia sebagai cabaran membakar semangat untuk membuktikan bahawa saya juga boleh berjaya macam orang lain,” katanya.

Mohd. Sofian memberitahu, perniagaan miliknya tidak mampu berada di tahap sekarang jika tiada bantuan beberapa agensi yang memberi perhatian terhadap pembangunan usahawan terutamanya golongan OKU.

Katanya, dia menerima bantuan agensi pembangunan usaha seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) dan Permodalan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).

“Bantuan banyak disediakan, namun terpulang kepada usahawan itu sendiri untuk berusaha mendapatkannya selain membuktikan mereka benar-benar berkemampuan untuk menguruskan perniagaan masing-ma­sing.

“Ada yang beranggapan bahawa hidup dan diri saya perlu diuruskan oleh orang lain kerana saya tidak mampu. Tanggapan sebegini saya jadikan pembakar semangat bukan berniat untuk menunjuk-nunjuk, tetapi untuk keyakinan diri, saya melupakan segala kritikan dan yakin boleh berjaya seperti orang lain,” katanya.