Pengerusi Jawatankuasa Pe­nerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan negeri, Datuk Mohd. Tajudin Abdullah berkata, acara tersebut dianjurkan Harlie Venture dan Majlis Daerah Sik dengan kerjasama kerajaan negeri sempena Hari Sukan Negara dan kempen Discover Kedah.

Menurutnya, seramai 800 peserta termasuk dari luar negara seperti Indonesia, Thailand, Singapura dan Brunei mendaftar untuk turut menyertai cabaran pada acara berkenaan.

Katanya, peserta akan melalui trek sejauh 37 kilometer (km) meliputi jalan kampung, laluan balak, ladang getah dan anak sungai.

“Pertandingan tersebut melibatkan lima kategori iaitu lelaki terbuka, perempuan terbuka, veteran junior (35 tahun hingga 45 tahun) dan veteran senior (45 tahun ke atas) serta pelajar institusi pengajian tinggi,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Negeri, di sini semalam.

Mohd. Tajudin berkata, sebanyak 12 syarikat korporat akan menjadi rakan penaja pertan­dingan tersebut.

“Hadiah keseluruhan yang ditawarkan pada acara tersebut ialah RM7,000 manakala kos penganjuran pula mencecah RM10,000,” katanya.

Beliau berkata, bayaran pendaftaran untuk menyertai acara tersebut pula ialah RM70 seorang dan penyertaan ditutup selepas jumlah peserta mencapai 1,000 orang.