Pengarah JBPM Kedah, Abdul Razak Muda berkata, pihaknya boleh mengeluarkan notis arahan penutupan premis terbabit mengikut Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Bomba 1988.

Menurutnya, setakat ini, hanya 147 sekolah agama dan maahad tahfiz di negeri ini yang berdaftar dengan JAIK manakala selebihnya masih belum berbuat demikian.

“Sebanyak 118 buah sekolah agama dan maahad tahfiz sudah diperiksa sebelum ini. JPBM Kedah mendapati 80 peratus daripada sekolah yang diperiksa tidak menepati aspek keselamatan kebakaran seperti tiada alat pemadam api, tiada tangga dan pintu kedua untuk keluar, pemasangan jeriji yang tidak mematuhi piawai­an dan keadaan pendawaian elektrik yang kurang memuaskan.

“Hal seperti ini boleh me­ngancam keselamatan murid dan penghuni asrama terutama pada waktu malam apabila kesemua mereka tidur,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Mencegah Kebakaran serta pelancaran Skuad Bomba Sekolah Pondok dan Bomba Komuniti Zon 2 di Kampung Pondok Ampang Jeneri dekat sini, baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau menggesa semua sekolah agama dan maahad tahfiz supaya mendaftar dengan JAIK bagi membolehkan JBPM melakukan pemeriksaan keselamatan kebakaran.

Selain itu, ujar Abdul Razak, pihaknya juga akan bekerjasama dengan badan korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli politik dan pelbagai pihak lain bagi meningkatkan aspek keselamatan di sekolah pondok.

“Kebanyakan sekolah pondok ini mempunyai dana yang sedikit untuk menyediakan kelengkapan keselamatan yang secukupnya. Justeru, ini adalah antara inisiatif yang boleh kita ambil untuk membantu mereka,” katanya.