Hubungan yang sedia terjalin antara syarikat tersebut dengan pihak media terutamanya Kelab Media Elit Kedah (KMEK) diserikan lagi dengan kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif baharu Kumpulan BDB, Faris Najhan Hashim.

Malah, majlis itu juga merupakan pertemuan secara rasmi pertama Faris Najhan sejak beliau menerajui Kumpulan BDB pada Februari lalu yang bertujuan mengeratkan lagi hubungan.

Menurut Faris Najhan, media terutamanya KMEK merupakan rakan strategik yang amat berpengaruh dalam menyampaikan sebarang usaha atau projek-projek pembangunan khususnya di negeri ini dan seluruh negara.

“Sebagai sebuah syarikat tersenarai awam dan anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan BDB perlu memastikan kepentingan para pemegang saham majoriti mahupun minoriti dijaga dengan baik.

“Di samping itu, rakan-rakan media juga boleh memainkan peranan sebagai penyebar maklumat kepada rakyat mengenai aktiviti-aktiviti kemasyarakatan dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dijalankan syarikat,” katanya dalam majlis tersebut di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden KMEK, R. Kumaran dan Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan BDB, Sajahan Abdul Waheed.

Tambah Faris Najhan, Kumpulan BDB akan terus bekerjasama dengan KMEK pada tahun ini dalam program-program yang membabitkan penglibatan kedua-dua pihak. - UTUSAN ONLINE